Hengyi bantu ringankan beban menjelang Hari Raya Aidilfitri

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 APR – Hengyi Industries Sdn Bhd (Hengyi) pada pagi tadi telah mengadakan penyampaian sumbangan kepada anak yatim dan keluarga yang kurang bernasib baik di Dewan Al-Fath, Ibu Pejabat Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam.

Penyampaian sumbangan berkenaan adalah sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunan syarikat berkenaan untuk meringankan beban keluarga yang memerlukan dan anak-anak yatim menjelang sambutan Hari Raya yang akan tiba tidak lama lagi.

Hadir sebagai tetamu kehormat pada majlis penyampaian sumbangan itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman selaku pemangku penghulu Mukim Serasa.

Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadi.

Di bawah inisiatif CSR itu, kakitangan Hengyi mengumpulkan sejumlah $1,642 sementara syarikat menyumbang $6,000 untuk menghulurkan sumbangan berupa wang tunai dan keperluan asas seperti bahan makanan dan barangan rumah tangga kepada keluarga yang memerlukan dan anak-anak yatim.

Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi Industries, Chen Lian Cai bersama tetamu kehormat majlis telah menyampaikan sumbangan itu kepada 20 orang penerima, yang terdiri daripada 12 keluarga kurang berkemampuan dan lapan orang anak yatim dari Kampung Serasa, Kapok, Muara dan Meragang.

Tetamu kehormat majlis semasa menyampaikan sumbangan derma kepada salah seorang penerima.