BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Hengyi Industries Sdn Bhd dengan kerjasama antara Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dan Kolej Petrokimia Lanzhou telah mengadakan Jerayawara Program Pengenalan Biasiswa untuk pendaftaran kumpulan ketiga bermula 18 November 2019 hingga 26 Februari lalu.
Jerayawara yang diadakan di tiga daerah bermula Daerah Belait, Daerah Tutong dan berakhir di Daerah Brunei dan Muara itu bertujuan memperkenalkan Program Biasiswa IBTE – Kolej Petrokimia Lanzhou kepada pelajar dan menyediakan peluang kepada pelajar ‘O’ Level yang berkelayakan untuk menjadi sebahagian daripada Hengyi Industries sebagai operator penapisan.
Semasa jerayawara itu, Hengyi dan IBTE melawat sekolah-sekolah di seluruh Brunei dan mengadakan penyampaian slaid yang memperkenalkan pelajar kepada program biasiswa, disusuli sesi soal jawab. Sepanjang jerayawara, lebih 1,000 pelajar dari 19 buah sekolah menghadiri acara itu.
Biasiswa tersebut adalah program tiga tahun di mana pelajar akan menjalani latihan berasaskan institusi selama 12 bulan di IBTE Kampus Jefri Bolkiah, Kuala Belait; 12 bulan latihan berasaskan institusi di Politeknik Petrokimia Lanzhou, China; dan latihan semasa kerja selama 12 bulan bersama Hengyi Industries di Pulau Muara Besar (PMB). Selepas tamat program, pemegang biasiswa akan ditawarkan kerja di Hengyi Industries.
Jerayawara seterusnya akan diadakan di Daerah Brunei dan Muara pada April 2020 untuk pendaftaran kumpulan keempat.
