Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – Hengyi Industries Sdn Bhd, kelmarin, telah menandatangani kontrak dengan Bureau Veritas Brunei bagi Perkhidmatan Audit Sistem Pengurusan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSEMS) pihak ketiga.
Hadir semasa penandatanganan tersebut ialah Timbalan Pengurus Besar Hengyi Industries, Xu Ye dan Ketua Eksekutif Bureau Veritas Brunei, Awang Rizan Latif.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, kontrak perkhidmatan audit HSEMS itu memfokuskan pada pengurusan risiko HSE dan penugasan tapak untuk loji petrokimia Hengyi sesuai dengan keperluan oleh Pihak Berkuasa Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kebangsaan (SHENA). Bureau Veritas Brunei adalah salah satu badan akreditasi ISO terkemuka di negara ini yang memberi perkhidmatan kepada pengusaha minyak dan gas utama serta organisasi kontraktor utama lain di Brunei.
Kenyataan menyatakan, Hengyi berhasrat untuk bekerjasama dengan lebih banyak syarikat tempatan bagi membantu menyumbang ke arah perkembangan dan kepelbagaian ekonomi Brunei serta membantu merealisasikan Wawasan Brunei 2035.
