Hengyi hulur sumbangan bernilai as$1 juta

Oleh Sim Y. H.

Gambar serahan Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MAC – Sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat untuk membantu kerajaan Negara Brunei Darussalam menangani penularan pandemik COVID-19 di Brunei, Zhejiang Hengyi Group Co Ltd telah menyumbangkan barangan dan peralatan perubatan bernilai AS$1 Juta kepada Kementerian Kesihatan.

Majlis penyerahan bantuan berkenaan telah berlangsung di Kementerian Kesihatan, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, sumbangan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi Industries Sdn Bhd, Chen Lian Cai kepada Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Tenaga), Kementerian Tenaga, Haji Azhar bin Haji Yahya.

Sumbangan berkenaan akan tiba dalam kelompok dihantar terus ke Brunei dari China dengan kelompok pertama dijadualkan tiba pada minggu hadapan yang merangkumi lima unit alat pernafasan dan 50 unit katil hospital elektrik serta akan diagih-agihkan kepada hospital dan pusat-pusat pengasingan minggu hadapan.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa barangan dan peralatan perubatan yang lain akan datang dalam kelompok yang berlainan.

Kumpulan Hengyi berharap sumbangan itu akan menyediakan sokongan tambahan kepada Kementerian Kesihatan dalam menangani pandemik berkenaan.

Kumpulan Hengyi juga merakamkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan atas kerja keras berterusan mereka menangani pandemik COVID-19 di negara ini serta akan terus memberikan sokongan kepada kerajaan Negara Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menerima sumbangan daripada Chen Lian Cai.