Hengyi tanam 1,000 anak pokok

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Sebagai komitmennya untuk melindungi alam sekitar Brunei ke arah masa depan mapan, Hengyi Industries Sdn Bhd telah menanam 1,000 anak pokok di kawasan Hutan Simpan Berakas, hari ini.

Anak-anak pokok yang ditanam dalam usaha penanaman pokok kali kedua berkenaan merangkumi lima spesies anak pokok iaitu Kapur Paji, Kapur Bukit, Selangan Batu Daun Tebal, Meranti Merah Kesumba dan Tulong

Seramai 60 orang telah hadir pada acara berkenaan, bukan sahaja daripada kalangan kakitangan Hengyi Industries tetapi juga perwakilan dan pegawai-pegawai Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Damai Holdings Ltd dan Jaba-tan Perhutanan serta sukarelawan dari Green Brunei dan Kelab Rotary.

Menurut kenyataan dikeluarkan Hengyi Industries, anak-anak pokok yang ditanam di atas tanah berkeluasan satu hektar berkenaan adalah tumbuhan asli di Hutan Simpan Berakas yang telah pupus disebabkan kebakaran hutan.

Pokok-pokok tersebut memberikan pelbagai manfaat seperti meminimumkan berlakunya hakisan tanah dan bagi tujuan pendidikan.

Kenyataan menjelaskan, syarikat berkenaan telah melancarkan projek penghutanan semula pada 1 Mei 2019 di Hutan Simpan Berakas dengan janji untuk menanam sejumlah 200 hektar tanah sebagai sebahagian daripada usaha sama untuk menyokong komitmen Brunei Darussalam di bawah Konvensyen Diversiti Biologi (CBD), Perjanjian Paris dan Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) menerusi Program Pengurangan Emisi daripada Pembasmian Hutan dan Degradasi Hutan (REDD+).

Antara yang terlibat dalam inisiatif penanaman anak pokok berkenaan. – Gambar oleh Hengyi Industries
Kakitangan Hengyi bergotong-royong menanam anak pokok. – Gambar oleh Hengyi Industries