Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Sebanyak 500 anak pokok ditanam kelmarin di tanah seluas 0.5 hektar oleh lebih 70 anggota sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan Hengyi Industries Sdn Bhd (Hengyi) dan wakil dari Jabatan Perhutanan, Petroleum Authority, Damai Holdings Ltd dan Sekretariat Perubahan Iklim Brunei (BCCS).
Projek Reforestation di Bukit Perumpong, Hutan Simpan Arboretum, Sungai Liang, yang dianjurkan oleh Hengyi merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat untuk membantu melindungi alam semula jadi Negara Brunei Darussalam serta meningkatkan keseluruhan carbon sink di negara ini.
Anak pokok yang ditanam merangkumi pelbagai spesies pokok tempatan antaranya Kapur Paji, Selangan Daun Tebal, Binchaloi, Meranti Timbul Putih, Kapur Bukit, Sarang Punai Bukit dan Sarang Punai. Anak pokok yang ditanam akan mempunyai kadar kelangsungan hidup yang lebih tinggi kerana Bukit Perumpong terkenal dengan habitat batu pasir dan tanah berpasir. Kelebihan pokok-pokok tempatan ini adalah bagi membantu mengurangkan kejadian hakisan tanah dan meningkatkan biodiversiti kawasan tersebut selain menawarkan tujuan pendidikan mengenai spesies Dipterocarpaceae.
Jabatan Perhutanan telah memilih empat lokasi khusus untuk Projek Penghutanan Semula kerana kawasan tersebut telah terjejas teruk oleh kebakaran hutan sekali gus mengurangkan kesan perubahan iklim serta memberi sokongan kepada Brunei Darussalam National Climate Change Policy Strategy 2 iaitu Kawasan Hutan.
Hengyi melancarkan projek penghutanan semula ini pada tahun 2019 dengan janji untuk menanam pokok yang merangkumi keseluruhannya kawasan seluas 200 hektar sebagai menyokong komitmen Negara Brunei Darussalam di bawah Konvensyen mengenai Kepelbagaian Biologi (CBD) dan Perjanjian Paris dan Konvensyen Rangka Kerja Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) melalui Pengurangan Pelepasan dari Program Penebangan Hutan dan Kerosakan Hutan (REDD+).
