Hengyi tanam 500 pokok

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Dalam inisiatifnya untuk melindungi dan memulihara biodiversiti serta alam sekitar semula jadi negara ini, Hengyi Industries Sdn Bhd (Hengyi) hari ini melaksanakan projek penghutanan semula ke-3 di Hutan Simpan Berakas, Taman Biodiversiti sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya.

Menurut kenyataan dikeluarkan Hengyi di sini, semasa projek itu, lebih 80 peserta terdiri daripada kakitangan Hengyi dan sukarelawan dari Sekretariat Perubahan Iklim Brunei (BCCS), Jabatan Perhutanan, Beach Bunch, Kelab Rotary Bandar Seri Begawan, pelajar Discovery Year UBD dan ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) RPN Serasa dan Kampung Serasa berjaya menanam lebih 500 anak pokok.

Sembilan jenis pokok ditanam meliputi Kapur Paji, Selangan Daun Tebal, Binchaloi, Meranti Putih Timbul, Kapur Bukit, Sarang Punai Bukit, Sarang Punai, Sepetir dan Merawan Ribu.
Spesies pokok dipilih adalah bersesuaian dengan jenis tanah berpasir di Hutan Simpan Berakas.

Penanaman pokok juga diharap dapat meminimumkan hakisan tanah, meningkatkan biodiversiti dan membantu meningkatkan litupan hutan yang semakin berkurangan di hutan tersebut akibat kebakaran hutan baru-baru ini.

Pokok-pokok dibawa ke kawasan untuk penanaman oleh peserta projek tersebut di Hutan Simpan Berakas anjuran Hengyi. – Gambar serahan Hengyi