Hengyi uji tahap kesiapsiagaan keselamatan

BANDAR SERI BEGAWAN 18 SEPT – Bagi menguji dan menilai kekuatan keupayaan respons kecemasannya, Hengyi dengan kerjasama Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) dan Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian telah menjalankan Latihan Tindak Balas Kecemasan Keselamatan Tahap 3 Industri di Pulau Muara Besar (PMB), kelmarin.

Hadir menyaksikan latihan berkenaan ialah Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein; Timbalan Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw; Setiausaha Tetap (Tenaga), Haji Azhar bin Haji Yahya; Setiausaha Tetap (Perindustrian), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan dan Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga dan Kuasa Elektrik), Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra.

Menurut kenyataan yang diberikan, latihan Exercise Naga-5 yang bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari berkenaan melibatkan simulasi kebocoran gas dan letupan di Liquefied Petroleum Gasoline (LPG) Fractionation Unit dan menyebabkan kecederaan terhadap kakitangan.

Unit berkenaan terletak dalam kemudahan penapisan dan petrokimia di bahagian barat Tapak Perindustrian PMB.

Susulan ‘insiden’ berkenaan, barisan depan perkhidmatan kecemasan, Hengyi On Scene Commander Team (OSCT), Pasukan Penyelarasan Kecemasan (ECT) dan Pasukan Pengurusan Krisis (CMT) diaktifkan untuk menguruskan pihak berkepentingan dan berhubung dengan NDMC.

Kenyataan menyatakan, sekitar 600 orang kakitangan Hengyi dan 100 orang dari pelbagai agensi kerajaan terlibat dalam latihan berkenaan yang merupakan salah satu syarat bagi pengesahan kesiapsiagaan Hengyi di bawah Perintah Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja dan Peraturan Kawalan Kemalangan Besar Berbahaya (COMAH), 2013 sebelum kilang berkenaan diberikan lesen untuk beroperasi. Hengyi sebelum ini telah menjalankan beberapa latihan tindak balas kecemasan pada Tahap 1 Industri, bermakna bahawa kecemasan boleh diuruskan oleh syarikat itu sendiri dan kemudian latihan Tahap 2 Industri yang memberi kesan kepada kawasan setempat.

Manakala itu, latihan kecemasan Tahap 3 Industri pula adalah pada peringkat kebangsaan dengan kerjasama NDMC dan memerlukan tindak balas dan penyelarasan dengan pelbagai agensi yang hadir. Menurut kenyataan itu lagi, latihan berkenaan memberi peluang untuk menyelaraskan lagi dan membangunkan kemahiran antara Hengyi dan NDMC serta agensi-agensi kerajaan yang terlibat.

Yang Berhormat Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian ketika meninjau latihan kesiapsiagaan Hengyi.