Henti sebar berita palsu

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Dalam krisis penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, menyebarkan berita palsu mengenainya melalui platform media sosial di negara ini setentunya memberikan impak tidak baik yang juga membolehkan meningkatkan kerisauan rakyat dan penduduk di negara ini.

Dengan penyebaran berita-berita palsu sebegini membuatkan orang ramai akan merasa tidak selamat dan menyebabkan mereka membuat pembelian panik seperti membeli pencuci tangan pembasmi kuman dengan banyak dan sebagainya dengan berfikiran akan susah untuk mendapatkannya di kemudian hari.

Kementerian Kesihatan dan beberapa pihak yang berwajib juga sering kali mengingatkan orang ramai untuk tidak merasa panik dan mempercayai seratus peratus berita yang disebarkan melalui media sosial.

Orang ramai juga digalakkan untuk mengikuti berita-berita terkini melalui media-media rasmi seperti akhbar tempatan dan kerajaan.

Orang ramai dinasihatkan untuk bekerjasama dengan pihak kerajaan apabila mengetahui tentang sumber berita palsu yang disebarluaskan terutama sekali mengenai dengan penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohamad Isham bin Haji Jaafar juga telah berulang kali mengingatkan untuk tidak menyebarluaskan berita yang tidak berasas, dan mereka yang menyebarluaskan berita akan diambil tindakan undang-undang di bawah Penggal 148 Akta Ketenteraman Awam Seksyen 34 iaitu sesiapa yang sama ada, menggunakan lisan atau tulisan atau menggunakan sebarang cara, menyebarkan laporan yang salah atau membuat kenyataan yang salah yang boleh menyebabkan ketenteraman awam terganggu boleh dihukuman penjara tiga tahun dan denda sebanyak $3,000.

Media Permata dalam tinjauan ke beberapa buah pusat membeli-belah di Daerah Brunei dan Muara mendapati bahawa barangan keperluan asasi adalah mencukupi, namun ada beberapa barangan harian yang biasa didatangkan dari negara jiran telah habis memandangkan beberapa negara telah menutup sementara kilang-kilang yang mengeluarkan barangan berkenaan sebelum ini.

Salah seorang pelanggan yang sempat ditemu bual, Awang Mohd Fakhri bin Haji Yahya berkata, beliau akan melebihkan pembelian untuk barangan pencuci namun untuk makanan, mereka pastikan ia mencukupi untuk mereka sekeluarga saja, tidak berlebih-lebih.

“Mungkin saya akan mula melakukan apa yang dipanggil pembelian panik apabila membaca berita palsu yang telah disebarluaskan dulu, namun saya yakin kerajaan sedang melakukan yang terbaik untuk kawal wabak (COVID-19),” katanya.