Hentikan kekerasan terhadap pegawai kesihatan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Sept – Orang ramai diingatkan agar tidak melakukan sebarang kekerasan terhadap petugas kesihatan dan bagi sesiapa yang merosakkan harta benda kerajaan boleh dibawa ke mahkamah dan dikenakan denda.

Perkara ini ditegaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada sidang media hari ini yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah Kementerian Kesihatan hari ini.

Menjawab soalan mengenai video tular mengenai kejadian kekerasan yang berlaku di salah sebuah tempat pusat swab, Yang Berhormat Dato mengesahkan perkara tersebut dan kejadian itu berlaku dua hari lalu.

Menurut Yang Berhormat Dato, kes tersebut telah dihadapkan ke Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) untuk tindakan lanjut yang mana individu tersebut telah melakukan kekerasan terhadap pegawai petugas selain merosakkan harta benda kerajaan dan kes ini juga telah di bawa ke mahkamah.

“Selain itu, orang ramai diingatkan, sebarang kekerasan boleh dikenakan denda atau di bawah Kanun Jenayah jika melibatkan kerosakan harta benda bernilai $500 ke atas boleh di penjara selama lima tahun atau tidak kurang dua kali sebatan,” tegasnya.

Kejadian tular yang dirakam menunjukkan kekerasan yang dilakukan terhadap petugas kesihatan di salah sebuah pusat swab, baru-baru ini. – Gambar WhatsApp