Hernandez diberi masa untuk masuk penjara

MADRID, 19 OKT – Pemain pertahanan Bayern Munich, Lucas Hernandez diberikan masa sehingga 28 Oktober untuk menyerah diri ‘secara sukarela’ setelah dia muncul di mahkamah Madrid kelmarin kerana melanggar perintah pengekangan pada tahun 2017.

Pemain pertahanan kiri Perancis, Hernandez mempunyai 10 hari bermula kelmarin untuk dmasukkan ke penjara ‘secara sukarela’, kecuali rayuannya diterima.

Pemain berusia 25 tahun itu ditahan empat tahun lalu kerana melanggar perintah mahkamah yang melarangnya menghubungi pasangannya setelah berlaku perselisihan antara pasangan tersebut.

“Tempoh 10 hari untuk memasuki penjara secara sukarela,” bermula kelmarin dan berakhir “pada 28 Oktober,” tambah kenyataan tersebut.

Hernandez, pemenang Piala Dunia bersama Perancis pada tahun 2018, dan pasangannya, Amelia Lorente, kedua-duanya disabitkan dengan kesalahan keganasan rumah tangga pada Februari 2017.

Gambar Pemain pertahanan Bayern Munich, Lucas Hernandez dengan isterinya, Amelia Lorente di stadium di Munich, selatan Jerman. – AFP

Mereka tidak membuat aduan terhadap satu sama lain tetapi kedua individu tersebut telah didakwa oleh pendakwa raya Sepanyol.

Bekas pemain Atletico Madrid itu dan kekasihnya masing-masing dijatuhkan hukuman menjalani khidmat masyarakat selama 31 hari. Mereka juga diarahkan untuk tidak berjumpa satu sama lain selama enam bulan.

Empat bulan kemudian, Hernandez telah ditahan di lapangan terbang Madrid.

Dia telah dilihat bersama kekasihnya, yang tidak ditahan atas sebab perintah penahanannya sendiri belum diserahkan secara rasmi. Mereka baru sahaja kembali ke Sepanyol setelah berkahwin di Amerika Syarikat dan pasangan tersebut telah mempunyai seorang anak lelaki.

Hernandez dijatuhkan hukuman penjara enam bulan pada tahun 2019, hukuman yang telah dirayunya. Namun rayuannya telah ditolak atas sebab dia merupakan pesalah yang mengulangi kesalahannya, yang menyebabkannya dipanggil ke mahkamah di Madrid. – AFP