Hertha Berlin tidak tergesa gesa turunkan Tousart

BERLIN, 15 JUN – Jurulatih Hertha Berlin, Bruno Labbadia mengatakan mereka tidak terburu-buru untuk menurunkan penampilan pertama perlawanan Bundesliga untuk pemain mudanya, Lucas Tousart, yang jarang dimainkan sejak menjaringkan gol untuk Lyon menentang Juventus di Liga Juara-Juara pada Februari lalu.

“Kita tidak boleh lupa bahawa dia tidak bermain lebih dari dua setengah bulan,” kata Labbadia, yang bertemu dengan Tousart di Berlin kelmarin.

Tousart, yang menyertai kelab Hertha dari Lyon pada bulan Januari lalu dan dipinjamkan kembali ke kelab Perancis, menjaringkan gol kemenangan 1-0 atas Juventus pada perlawanan peringkat 16 akhir, Liga Juara-Juara. Hanya beberapa hari kemudian, Liga Juara-Juara dan liga Perancis ditangguhkan kerana COVID-19. Hertha membeli pemain pertahanan bawah 23 Perancis itu dengan harga sekitar 25 juta euro (AS$28 juta).

Pemain berusia 23 tahun itu secara teknikal berada di bawah kontrak dengan Lyon hingga akhir bulan Jun, tetapi liga Perancis telah mengakhiri kempen mereka, kerana wabak COVID-19.

Tousart, yang tidak bermain sejak awal Mac, menjalani ujian kecergasan di Berlin pada Sabtu lalu.

Labbadia mengatakan Hertha tidak akan terburu-buru untuk memastikan dia beraksi dengan hanya tinggal tiga perlawanan sahaja lagi di Bundesliga, yang akan selesai dalam masa dua minggu lagi. Liga Jerman menjadi liga Eropah pertama yang disambung semula pada pertengahan Mei selepas dua bulan ditangguhkan. Hertha tewas 4-1 di halaman sendiri dengan perlawanan diadakan di stadium tertutup menentang Eintracht Frankfurt. – AFP

Reaksi pemain tengah Lyon, Lucas Tousart ketika meraikan jaringan gol semasa perlawanan peringkat 16 akhir Liga Juara-Juara UEFA yang lalu antara Lyon dan Juventus di stadium Parc Olympique Lyonnais, Perancis. – AFP