Hetty Koes Endang teruja dapat cucu pertama

Khabar gembira buat penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang yang kini bergelar nenek pada usia 64 tahun selepas anak perempuannya, Afifah Qomariah Yusuf selamat melahirkan anak lelaki pada Rabu lalu.

Berita gembira itu dikongsikan penyanyi itu di Instagram miliknya serta berkongsi wajah cucu pertamanya.

Hetty yang mesra disapa panggilan Bunda turut berkongsi nama anak damit lelaki tersebut iaitu Arlo Astrodistira Arsanda.

“Alhamdullillahirobilalamin… Telah lahir ke dunia cucu bunda dari @afifahyusuf dan @faldoarsnd, Arlo Astrodistira Arsanda, 11 Ogos 2021, pukul 8:33, berat 3.11 kilogram.

“Selamat sekali lagi untuk kedua ayah dan ibu baharu. Ibu yang kuat, sihat, semua mendoakan mu nak. Lancar persalinannya, bahagia sekali lihat anaknya sihat-sihat,” tulisnya.

Dalam pada itu menerusi ruangan komen, penyanyi kesayangan negara iaitu Datuk Siti Nurhaliza juga tidak ketinggalan menyampaikan ucapan tahniah buat bunda sekeluarga.

Afifah dan suaminya, Faldo Arsa Da Aziz berkahwin pada 21 November 2020 di Jakarta dengan sekali lafaz.

Afifah sebelum ini bertunang dengan Faldo sekitar Jun 2020. – Agensi

Hetty Koes Endang yang kini bergelar nenek. – Agensi