Heung Min lonjak Spurs

BELGRADE, 7 NOV – Son Heung Min bangkit daripada trauma hujung minggu dengan menjaringkan dua gol ketika Tottenham membenam Red Star 4-0 di Belgrade awal pagi tadi untuk mencerahkan peluang layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara buat tahun ketiga berturut-turut.

Pemain Korea Selatan itu menangis selepas dibuang padang kerana terjahan yang menyebabkan pemain Everton, Andre Gomes mengalami kecederaan buku lali yang teruk Ahad lalu.

Kad merahnya kemudian ditarik balik kerana kecederaan Gomes lebih disebabkan kesilapan pemain tengah Portugal itu ketika terjatuh.

Namun Heung Min masih memohon maaf selepas dua jaringan babak kedua yang memastikan kemenangan pertama Spurs di laman lawan dalam semua pertandingan sejak kebangkitan menakjubkan menentang Ajax Mei lalu yang membantu mereka ke final Liga Juara-Juara musim lalu.

“Ia beberapa hari yang terlalu sukar, tapi dengan rakan sepasukan saya ada di sisi, saya berasakan betapa bertuahnya saya,” kata Heung Min kepada BT Sport.

Aksi Son Heung-min (kiri) ketika mengawal bola sambil dihalang oleh pemain Red Star, Marko Gobeljic pada perlawanan di Belgrade, kelmarin. – AP

“Saya masih berasa sedih dengan insiden dan situasi itu, tapi saya juga perlu fokus terhadap pasukan. Saya fikir ini jawapan tepat saya kepada orang yang menyokong saya.”

Giovani Lo Celso turut menjaringkan gol pertama pada aksi sulungnya dalam kesebelasan utama dan Christian Eriksen melengkapkan nota positif buat anak buah Mauricio Pochettino, yang membelasah Red Star 5-0 di laman sendiri dua minggu lalu.

Tottenham melonjak empat mata di depan Red Star di tangga kedua Kumpulan B dan akan memastikan kemaraan jika mengatasi Olympiakos di laman sendiri pada 26 November ini.

“Kami sangat berpuas hati dengan persembahan pasukan,” kata Pochettino.

“Kini kami perlu meneruskannya, ia hanya satu perlawanan. Kami mesti menambah tiga mata lagi, tapi ia satu perasaan yang bagus selepas Everton.

“Kami berada di landasan yang baik dengan persembahan yang diharapkan setiap orang.” – AFP