Thursday, June 8, 2023
27.2 C
Brunei

    -

    HFMD melebihi paras amaran

    MELAKA, 13 MEI – Sebanyak 11 premis berkaitan pusat jagaan kanak-kanak terpaksa ditutup selepas Melakamencatatkan 977 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

    Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) Dr Rusdi Abd Rahman berkata jumlah tersebut adalah daripada 13 kluster dilaporkan membabitkan tadika, taska, pusat jagaan dan rumah setakat minggu ini.

    “Terdapat peningkatan kes HFMD setakat Minggu Epidemiologi 18 (ME18) tahun ini berbanding hanya 95 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

    “Untuk itu, kita telah mengarahkan 11 premis iaitu tadika, taska dan pusat jagaan melibatkan tujuh di daerah Jasin, Melaka Tengah (tiga) dan sebuah premis di Alor Gajah ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

    Dr Rusdi berkata selain itu, dua kes turut dilaporkan melibatkan rumah persendirian.

    Menurutnya selain pemantauan berterusan daripada JKNM, beberapa sesi pertemuan akan diadakan bersama pengusaha tadika dan taska.

    Beliau berkata langkah itu penting walaupun situasi HFMD di Melaka masih terkawal, ibu bapa perlu berwaspada termasuk peka terhadap tanda-tanda penyakit itu pada anak-anak. 

    Sementara itu, sebanyak 6,748 kes HFMD dilaporkan di seluruh Selangor dengan bilangan kes mingguan melebihi paras amaran setakat 7 Mei lalu, menurut Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman. Beliau berkata daripada bilangan tersebut, empat peratus daripadanya dimasukkan ke hospital bagi tujuan pemantauan lanjut dan selebihnya menerima rawatan pesakit luar. 

    “Pada masa yang sama, terdapat 118 kluster HFMD dilaporkan dengan 95 peratus daripadanya melibatkan kluster di taska atau tadika serta pusat jagaan harian. Tiada kematian dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, hari ini.

    Dr Sha’ari berkata trend peningkatan penyakit tersebut di negeri ini berlaku terutamanya dalam kalangan kanak-kanak di bawah usia tujuh tahun sejak awal tahun ini. 

    Manakala di Negeri Sembilan, HFMD merekodkan peningkatan 25 kali ganda iaitu 1,446 kes sejak Januari lepas hingga kini berbanding tempoh sama pada tahun lepas. Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan berkata Seremban mencatatkan jumlah kes paling tinggi sebanyak 834 kes, Port Dickson (184), Jempol dan Rembau masing-masing 140 kes, Kuala Pilah (66), Tampin (53) dan Jelebu (29).

    Pada 5 Mei lalu, Ketua Penga-rah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata terdapat peningkatan ketara kes HFMD dalam negara dengan 22,463 kes dilaporkan hingga Minggu Epid  ke-17/2022 iaitu peningkatan sebanyak 12.8 kali ganda berbanding tempoh sama pada tahun lalu dengan 1,752 kes. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Australia haram simbol Nazi

    SYDNEY, 8 JUN - Australia pada hari Khamis mengumumkan ia akan melarang pameran awam simbol Nazi, ketika negara itu bergumul dengan kumpulan kecil ekstremis...
    - Advertisment -