TAIPING, 22 MEI – Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menggalakkan kaedah rawatan alternatif seperti menggunakan serbuk kunyit atau daun semambu bagi merawat penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata sebaliknya orang ramai diminta berjumpa doktor sekiranya mempunyai simptom jangkitan.
“KKM memang tidak menggalakkan rawatan alternatif kerana ia tidak ditentukan kesahihannya lagi dari sudut sains malah tiada rawatan khusus dari sudut sains bagi merawat penyakit tersebut.
“Kita juga bimbang gejala dehidrasi. Jadi kanak-kanak yang terkena HFMD perlu dipastikan untuk minum air secukupnya.
“Jika langsung tidak boleh minum air, memang perlu diberikan secara suntikan ke dalam salur darah dan dibawa ke hospital,” katanya yang ditemui pemberita pada majlis jamuan Aidilfitri di kediamannya di sini, hari ini.
Pada 17 Mei lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata bahawa jumlah kes HFMD di Malaysia meningkatkan pada kadar membimbangkan iaitu sebanyak 15 kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lepas dengan 31,661 kes dilaporkan. – Bernama