Friday, April 19, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Hiasan dua dalam satu mempesonakan

    Oleh Amri HTZ

    Keadaan ruangan yang tersusun rapi, setentunya sesuatu yang mendamaikan hati dan fikiran setelah pulang daripada bekerja seharian.

    Selain kemas, ruangan yang mempunyai hiasan unik juga memainkan peranan dalam memberi ‘ketenangan’ kepada para pemiliknya. Hiasan bersesuaian, selain didapatkan dengan cara membelinya, ia juga boleh direka sendiri dengan mudah namun memberikan impak luar biasa.

    Dengan memanfaatkan barangan alami terbiar, projek kali ini akan mereka hiasan yang juga berfungsi sebagai penggantung kot.

    Sedia barangan lebih awal

    Proses rekaan perhiasan bersama penggantung kot daripada kayu ini memerlukan awda untuk menyediakan barangan seperti kepingan papan, mesin jig atau mesin pemotong kayu meja, gergaji kayu, mesin gerudi, skru kayu, gam kayu, ketam kayu, kertas pasir, pita pengukur, pen penanda, vernier caliper, besi penggantung dan dahan bercabang.

    Cukup mudah dan menyeronokkan

    Sebelum memulakan proses pemotongan kepingan kayu tersedia, terlebih dahulu kayu-kayu tersebut diratakan permukaannya menggunakan mesin ketam kayu automatik atau secara manual. Tujuan utama meratakan permukaan kayu adalah bagi mendapatkan potongan yang betul-betul rata bagi memudahkan percantuman. Selain itu, memandangkan rekaan akan digantung pada permukaan dinding, permukaan potongan yang rata juga akan memberikan keseimbangan rekaan.

    Material yang hendak dipotong terlebih dahulu disukat dan ditandakan agar tidak berlaku kesilapan dalam proses pemotongan.
    Bahagian hujung kayu perlu ditebuk terlebih dahulu bagi memastikan skru yang dimasukkan nanti tercantum baik dengan rangka dan tidak membelah kayu.
    Mesin jig, salah satu alat digunakan untuk mempercepatkan pemoto-ngan.

    Kayu untuk rangka rekaan yang telah dipotong.
    Skru juga digunakan untuk menetapkan kedudukan dahan bercabang pada bahagian atas dan bawah rangka rekaan.

    Bagi awda yang menggunakan kayu terpakai hasil daripada palet, permukaan kayu tersebut terlebih dahulu dibersihkan daripada paku atau stapler. Sebarang material berbentuk besi setentunya mampu menjejaskan bilah alat sama ada mesin mahupun manual. Kejadian yang boleh dielakkan ini akan merugikan jika diambil ringan memandangkan harga bilah mesin yang agak mahal sementara memakan masa untuk mengasah semula bagi ketam manual.

    Ketebalan setiap kepingan kayu bukanlah sesuatu yang mesti diikut dalam projek ini kerana awda juga boleh mengimprovisasi menjadi sesuatu yang lebih besar atau panjang mengikut kesesuaian ruangan. Namun jika ingin mengikuti yang sama, ketebalan papan ditetapkan pada 2 sentimeter dengan panjang 50 sentimeter dan 30 sentimeter masing-masing dua keping. Pastikan awda mengetam keseluruhan permukaan termasuk bahagian sisinya.

    Setelah berjaya mendapatkan permukaan kayu yang sama rata, langkah seterusnya ialah memotong kepingan kayu tersebut dengan lebar yang sama. Kayu dengan lebar 5 inci akan dipotong di mana ia memerlukan awda untuk menetapkan jarak rip fence dengan bilah mesin menggunakan vernier caliper. Tujuan alat ini digunakan, selain tepat, ia juga mudah dan cepat untuk menetapkan jarak bilah.

    Semasa proses pemotongan, pastikan peralatan keselamatan digunakan seperti pelindung muka, badan (apron khusus) dan pelindung telinga. Bunyi bising terhasil daripada mesin dan proses pemotongan setentunya mendatangkan kemudaratan kepada pendengaran untuk jangka panjang. Manakala habuk serta serpihan potongan pula boleh memberi impak pada paru-paru dan mencederakan mata.

    Bagi awda yang tidak mempunyai mesin pemotong kayu meja, menggunakan mesin jig juga boleh dilakukan. Terlebih dahulu lakar garisan dengan ukuran diperlukan. Garisan tersebut merupakan panduan pemotongan ketika menyorong mesin.

    Walaupun berjaya menjimatkan masa mendapatkan ukuran kayu berbanding gergaji kayu manual, namun pada akhir langkah, permukaan tersebut terpaksa diratakan semula menggunakan ketam kayu memandangkan permukaan potongan menggunakan alat tersebut pada kebiasaannya tidak sempurna. Tetapkan kayu pada bench vise bagi memudahkan langkah mengetam bahagian sisi kayu.

    Langkah seterusnya ialah mencantumkan kepingan kayu untuk rangka rekaan menggunakan gam kayu dan skru. Gam kayu bukanlah sesuatu kemestian penggunaannya namun kehadirannya mampu menjadikan struktur rekaan lebih kukuh dan bertahan lama.

    Kayu berukuran 50 sentimeter akan berada pada bahagian atas dan bawah rekaan sementara kayu 30 sentimeter untuk kedua-dua bahagian sisi.

    Sementara menunggu gam pada cantuman untuk mengering, gunakan masa terluang untuk menyediakan dahan bercabang yang akan diletakkan pada bahagian tengah rekaan.

    Bersihkan permukaan kayu tersebut menggunakan berus loyang. Tujuannya adalah bagi meminimumkan kerosakan permukaan kayu atau kulit selain mampu benar-benar membersihkan pori kayu dengan berkesan.

    Pastikan dahan yang telah dipilih dan dipotongkan merupakan kayu kering sepenuhnya. Ini kerana jika awda menggunakan kayu yang masih lembap, selain ukurannya yang akan berubah apabila ia mengering nanti, ia juga akan menghasilkan kulat yang setentunya tidak elok untuk dijadikan perhiasan.

    Siap membersihkannya, potong dengan panjang 30 sentimeter sesuai dengan ketinggian bahagian dalam rangka rekaan. Bagi langkah ini, menggunakan gergaji kayu atau mesin jig sudah memadai tanpa memerlukan bantuan mesin pemotong kayu meja. Ini memandangkan langkah tersebut lebih selamat berbanding mesin jenis meja di mana material yang dipotong tanpa kontak sepenuhnya (bahagian bawah) dengan permukaan meja boleh menyebabkan kick back, lebih parah menjadikan tangan pengendalinya hilang kawalan dan jika terkena bilah mesin, ia setentunya bukan sesuatu yang dapat dibayangkan.

    Setelah gam mengering, kini awda perlu menebuk bahagian atas dan bawah rangka untuk ruangan skru. Terlebih dahulu tandakan kedudukannya dengan membahagikan sama rata jumlah dahan bercabang digunakan. Kemudian tebuk ruangan tersebut menggunakan mata gerudi berukuran 5mm pada bahagian atas dan bawah rangka. Susun kedudukan dahan dengan bahagian bercabang menghala ke depan dan ketatkan skru untuk mengekalkan kedudukan.

    Sebagai langkah terakhir, permukaan rekaan kemudiannya akan disemburkan dengan cat clear untuk melindungi permukaannya selain memberikan hasil akhir yang lebih baik. Awda boleh memilih jenis cat gloss atau matte. Sekurang-kurangnya dua lapisan cat diperlukan dengan lapisan pertama dibiarkan menyerap atau mengering terlebih dahulu sebelum diberikan lapisan kedua.

    Mengantungkannya pada ruangan bersesuaian, selain sebagai perhiasan, ia juga boleh digunakan untuk menggantungkan kot.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...