Hiasi ruangan dengan rekaan tersendiri

Oleh Amri HTZ

Mereka sesuatu perhiasan yang unik bukanlah suatu tugasan yang mudah terutamanya jika ia sesuatu yang baharu dengan menggunakan apa-apa material yang ada.

Namun dengan kreativiti yang dimiliki, menggunakan material yang terhad bukanlah suatu halangan. Malahan ia setentunya mampu menghasilkan sesuatu yang cukup luar biasa dengan memanfaatkan penggunaan kayu yang cukup versatil.

Barangan yang diperlukan

Pada projek kali ini, rak pasu panjang yang cukup ringkas akan direka menggunakan beberapa jenis material daripada kayu. Sebelum memulakan langkah merekanya, terlebih dahulu sediakan barangan seperti batang penyapu untuk empat batang (tertakluk jumlah penyokong pasu yang direka), papan lapis atau MDF berukuran 15mm tebal, gam kayu, kertas pasir, cat pilihan, mesin router dan pisau utiliti.

Langkah penting pembuatan

Mulakan langkah pembuatan dengan melakar ukuran papan utama untuk meletakkan pasu pada bahagian atas dan bawah. Papan lapis yang disediakan akan dilakar dengan bentuk empat segi dengan ukuran 29sm x 29sm menggunakan pensel atau pen penanda. Pastikan keseluruhan sudut betul-betul mempunyai sudut 90 darjah tepat dengan memeriksanya menggunakan sesiku.

Dua lakaran bentuk empat segi yang telah dibuat pada permukaan papan kemudiannya akan dipotong menggunakan circular saw atau mesin jig. Lakukan langkah pemotongan dengan berhati-hati terutamanya mesin jig yang agak sukar digunakan untuk mendapatkan permukaan potongan yang betul-betul lurus. Jika ia berlaku bagi awda yang menggunakan mesin sedemikian, masalah ini boleh diselesaikan dengan cara menggosok permukaan potongan menggunakan belt sander atau ketam kayu.

Kepingan papan lapis yang telah dipotongkan menggunakan mesin pemotong kayu.

Kedudukan hujung kayu penyapu yang menonjol sedikit daripada permukaan papan lapis bagi memberikan kelainan pada rekaan.
Batang kayu penyapu yang digunakan akan dibulatkan bahagian hujungnya bagi memudahkan proses memasukkannya ke dalam lubang yang direka.

Sementara bagi penggunaan circular saw, untuk memastikan ia memotong dengan lurus, pastikan awda menggunakan tapak panduan (guide track) yang telah terbuat untuk mesin tersebut. Selain menggunakan tapak panduan khusus, penggunaan besi berbentuk lurus juga sudah cukup memadai dengan memastikan jarak tapak panduan ditetapkan sesuai dengan kedudukan bilah pemotong di mana pemotongan akan dilakukan.

Setelah memotongkannya, bahagian sisi keseluruhan permukaan kayu akan dibulatkan menggunakan mata router jenis round over bagi menghilangkan sudut-sudut tajam. Tujuan ia dilakukan, selain memberikan hasil akhir rekaan yang lebih baik dan nampak profesional, sudut yang dibulatkan mengurangkan risiko kecederaan yang teruk jika sekiranya berlakunya insiden terjatuh tanpa sengaja mengenai bahagian badan yang sensitif.

Semasa menyorongkan mesin router, pastikan awda melakukannya dengan cara melawan arah putaran mesin. Ini bagi mengelakkan berlakunya kick back memandangkan mesin yang cukup laju berputar dan ini cukup berbahaya jika terkena anggota badan. Ketika berada di sudut hujung kayu, perlahankan langkah menyorong mesin agar bahagian tersebut dibulatkan dengan sama rata dengan keseluruhan sudut.

Bagi mereka bahagian permukaan kayu untuk meletakkan pasu, rangka daripada batang penyapu akan digunakan. Sebelum membolehkannya ditempatkan, permukaan kayu empat segi tersebut terlebih dahulu akan ditebuk menggunakan mesin gerudi berukuran sedikit kecil (kurang 1mm) daripada diameter kayu penyapu. Ini bagi memastikan ketika ia dimasukkan akan berada dalam keadaan yang cukup ketat sekali gus menjadikan keseluruhan rangka kukuh dan tidak bergoyang.

Untuk bahagian kayu penyapu, keseluruhan permukaan juga akan diratakan hanya menggunakan kertas pasir berukuran 1,500 grit. Menggunakan kehalusan (grit) kertas pasir sedemikian akan membuatkan permukaan kayu betul-betul rata, licin dan akan lebih berkilat ketika cat atau varnis yang digunakan untuk melindunginya digunakan.

Langkah yang sama jua akan dilakukan untuk permukaan kayu berbentuk empat segi yang telah ditebuk tersebut. Antara lain tujuan menghaluskan dan melicinkan permukaan kayu adalah bagi mengurangkan penyerapan cat pada permukaan kayu di mana jika ia berlaku, jumlah cat yang digunakan akan melebihi daripada yang diperlukan.

Bahagian hujung kayu penyapu pula akan dibulatkan sedikit sudut hujungnya bagi memudahkan proses memasukkannya ke dalam lubang kayu empat segi nanti. Jika langkah ini tidak dilakukan, awda akan merisikokan permukaan kayu (pada bahagian lubang) pecah sekali gus boleh mencacatkan rekaan tersebut. Gunakan pisau utiliti, ketam kayu atau pahat kayu secara manual untuk mendapatkan permukaan yang membulat diikuti dengan menggosoknya menggunakan kertas pasir.

Langkah seterusnya adalah mencantumkan keseluruhan bahagian kayu menggunakan gam kayu untuk mengekalkannya. Sapukan bahagian hujung batang penyapu dengan gam kayu secara menyeluruh. Begitu juga dengan lubang di mana ia hendak dimasukkan agar cantuman benar-benar mempunyai permukaan yang bersalut gam yang mencukupi.

Jika langkah memasukkan batang penyapu pada lubangnya cukup sukar, ketuk perlahan menggunakan tukul getah atau kayu pada bahagian hujung kayu penyapu atau kayu berbentuk empat segi. Tukul jenis sedemikian digunakan adalah bagi memastikan permukaan kayu tidak rosak ketika mengenai tukul memandangkan ia adalah permukaan yang lembut. Biarkan gam mengering dalam masa beberapa jam sebelum beralih kelangkah seterusnya.

Setelah gam mengering, sekarang awda sudah boleh menyemburkan atau menyapukan cat pada keseluruhan permukaan. Sapukan sekurang-kurangnya dua lapisan cat atau varnis bagi memastikan keseluruhan permukaan mempunyai cat yang rata dengan memberikan masa sekurang-kurangnya 15 minit (ikut arahan pengeluar cat) untuk setiap lapisan mengering sebelum memberikan lapisan yang seterusnya.

Apabila cat telah mengering, penyokong pasu yang diperbuat daripada kayu kini boleh ditempatkan di ruangan yang telah dipilih. Memandangkan ukurannya yang cukup kecil, meletakkannya bertepatan dengan kawasan yang mempunyai ruangan yang sangat terhad setentunya memberikan kelebihan untuknya.

Dengan ini, tumbuhan yang ditempatkan di atasnya akan menyerikan lagi sesebuah ruangan rumah sekali gus berguna untuk terapi diri sendiri.