Wednesday, April 24, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Hiburkan hati bina terarium

    Terarium memang kelihatan rumit dengan lapisan tanah yang berbeza, batu kerakal dan bahan-bahan lain, tidak termasuk tumbuhan-tumbuhan kecil di dalamnya.

    Namun, membina terarium bukanlah sesuatu yang sukar, menurut pencinta tumbuh-tumbuhan, Jan Zainal.

    “Ia sesuatu yang boleh dilakukan oleh semua orang. Apa yang diperlukan adalah beberapa alat dan bahan asas,” kata pemilik Taman Hati, studio dan kafe tumbuh-tumbuhan di Petaling Jaya yang berusia 52 tahun itu.

    “Bahkan kanak-kanak pun boleh belajar menciptanya. Ia menyeronokkan dan mudah dilakukan. Ia mengajar orang untuk menikmati alam di rumah dan bagaimana memupuk sesuatu yang membawa kebahagiaan,” tambahnya.

    Menurut Jan, dia tidak mengambil masa yang lama untuk membina sebuah terarium – biasanya sejam atau lebih sedikit – bergantung kepada betapa kompleks terarium tersebut. Beliau yang cekap dapat menyusunnya dalam masa 20 minit sahaja.

    Jan menunjukkan cara-cara membina terarium balang terbuka. – ANN/The Star

    Jan menunjukkan jenis terarium berlainan, daripada corak balang terbuka dan bertutup. – ANN/The Star
    Awda boleh menggunakan semula bekas kaca di rumah atau membeli yang baharu untuk membina terarium awda.- ANN/The Star

    Selain itu, membina terarium juga membantu orang melegakan tekanan. “Tumbuh-tumbuhan seperti juga haiwan peliharaan – awda perlu memberikan air, memberikan makanan (dengan baja), melihat pertumbuhan baharu, ia memberikan satu kepuasan,” katanya.

    “Ia menenteramkan fikiran kerana awda boleh membuat sesuatu dari asas, yang kemudian boleh dibawa pulang atau diletakkan di pejabat. Dan apabila melihatnya hidup subur, awda akan merasa amat puas,” katanya.

    Mengikut teori, sebuah terarium boleh bertahan selama-lamanya kerana ia adalah sistem yang mampu bertahan sendiri. Ia senang dijaga tetapi awda perlu tahu apa yang perlu dilakukan.

    Bagaimana ia bermula

    Perkataan ‘terarium’ berasal dari perkataan Latin ‘terra’ yang bermaksud ‘bumi’ atau ‘tanah’, dan ‘arium’, suku kata akhiran yang lazimnya mewakili lokasi atau bekas.

    Dipercayai terarium pertama dicipta pada tahun 1842 apabila ahli botani Inggeris, Dr Nathaniel Bagshaw Ward mendapati lumut dan pakis yang ditanamnya dalam balang kaca tumbuh subur dalam persekitaran yang dicipta untuk kepompong kupu-kupu.

    Ward memutuskan untuk membuat uji kaji dan meletakkan tumbuh-tumbuhan yang tidak asli di England dalam bekas kaca bertutup yang sama untuk mengawasi bagaimana ia tumbuh.

    Beliau mendapati bahawa jika dia meletakkan lumut dan pakis yang dibawanya ke London dari Asia Tenggara dalam bekas bertutup dan bukan meletakkannya di tempat terbuka, ia akan tumbuh subur kerana ekosistem dalam bekas bertutup itu sama seperti iklim tropika asal tumbuhan itu.

    Penemuan beliau membolehkan saintis dan ahli botani lebih memahami ekosistem yang berbeza dan memerhati tumbuh-tumbuhan dalam persekitaran yang sama dengan alam semula jadi dengan lebih mudah.

    Penemuan Ward mendorongnya menulis kertas kerja yang berjudul The Growth Of Plants Without Open Exposure To Air dan kemudian, sebuah buku berjudul On The Growth Of Plants In Closely Glazed Cases pada tahun yang sama.

    ‘Vibe’ tersendiri

    Jan, yang mengendalikan bengkel membuat terarium dan menanam tumbuh-tumbuhan untuk mereka yang baru belajar, mengatakan setiap pembuat terarium mempunyai ‘aura’ tersendiri. Menurutnya, dia memiliki ‘aura mesra alam semula jadi.’

    “Saya suka terarium alami kerana ia tidak sukar untuk dibuat, senang dijaga dan nampak cantik,” kata Jan. “Dari segi estetika, ia bersifat semula jadi. Saya tidak meletakkan banyak hiasan atau barangan lain di dalamnya yang menjadikannya terlalu menyemakkan.

    “Sebaliknya, saya meng-gunakan elemen seperti batu kecil dan lumut, dan saya cuba mengekalkan warna-warna yang lembut dan alami supaya ia nampak menyenangkan,” katanya. Jan menggalakkan peminat terarium untuk menggunakan semula bekas yang sudah ada di rumah untuk mengurangkan pembaziran.

    “Saya juga menggunakan bekas-bekas yang boleh didapati di rumah seperti gelas, bekas jem atau kopi sebagai pasu. Ia lebih mesra alam berbanding membeli bekas baharu,” katanya.

    Namun, jika terarium itu dijadikan sebagai hadiah, mungkin lebih sesuai untuk membeli bekas baharu.

    Jan juga menyatakan bahawa terdapat perbezaan dalam penjagaan dan kelembapan antara terarium bekas jar terbuka dan bekas jar tertutup (yang mempunyai penutup).

    Jan menekankan terdapat perbezaan besar di antara terarium balang terbuka dan tertutup – dari segi kelembapan dan cara menjaganya.

    “Untuk terarium balang tertutup, kelembapan tidak dapat keluar, jadi tumbuhan mendapat air daripada oksigen yang terkondensasi pada kaca. Ia adalah persekitaran yang mampu bertahan sen-diri, jadi tumbuhan tidak perlu disiram dengan kerap.

    “Tetapi terarium balang terbuka mesti diletakkan berhampiran tingkap dan perlu disiram setiap tiga hingga empat hari, bergantung pada jenis tumbuhan. Jika ia adalah kaktus atau sukulen, sudah memadai untuk menyiramnya sekali seminggu dengan botol semburan,” jelasnya.

    Jan menegaskan tumbuhan terarium tidak perlu disiram terlalu kerap. “Menyiram terlalu banyak boleh menyebabkan keadaan yang dikenali sebagai ‘reput akar’.

    Bekas tidak mempunyai lubang untuk mengeluarkan air, maka akar boleh menjadi reput, sekali gus menyebabkan tumbuhan mati,” jelasnya.

    “Lebih baik kurang basah daripada terlalu basah kerana tumbuhan yang akarnya reput tidak boleh diselamatkan, manakala tumbuhan yang dehidrasi hanya perlu disiram dan boleh kembali segar,” katanya. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...