Oleh Amri HTZ
Gambar Williewolf
Setiap kali menyambut sesuatu perayaan, pada kebiasaannya masyarakat akan membuat persediaan awal untuk menerima tetamu dengan sebaiknya.
Ini termasuk membersihkan pekarangan dan dalam rumah, menghiasi sesebuah ruangan dan membuat penambahan pada kawasan yang dirasakan ‘kurang’ dengan sesuatu yang bersesuaian.
Namun, perlu diingat, selain ruangan, alat-alat yang digunakan untuk menghidangkan juadah juga perlu diambil perhatian. Ia perlu dalam keadaan bersih dan elok dan jika sebaliknya, perlu digantikan dengan yang baharu sama ada dengan cara membelinya atau menghasilkannya sendiri.
Apa sahaja yang diperlukan?
Bagi sesetengah pengamal DIY, mendapatkannya di pasaran bukanlah pilihan pertama. Jika sesuatu yang mudah dan murah untuk dilakukan sendiri, mereka lebih memilih merekanya sendiri yang setentunya menepati bentuk dan keinginan mereka.
Oleh itu projek ini akan mengajarkan para pengamal DIY untuk mereka talam penghidangan daripada kayu menggunakan barangan seperti mesin ketam kayu, mesin router, mesin pemotong kayu meja, mesin jig, kertas pasir, kepingan papan, sekeping papan lapis, gam kayu, alat pengepit kayu, pita pengukur, vernier caliper, pensel penanda dan mesin pencetak laser.
Cukup mudah, namun hasil yang luar biasa
Kepingan papan yang tersedia terlebih dahulu perlu diratakan permukaannya menggunakan mesin ketam sebelum proses pemotongan. Ini kerana jika permukaan papan yang tidak rata terus dipotong untuk mendapatkan ukuran yang diperlukan, akan menyebabkan potongan tidak rata atau melengkung sekali gus menggagalkan projek malahan menjadikan pembaziran material. Oleh itu, papan-papan yang tersedia perlu terlebih dahulu diratakan permukaannya sebelum meneruskan langkah pemotongan.
Ketika proses meratakan, awda tidak perlu membuang permukaan kayu dengan banyak atau tebal, cukuplah hanya meratakan dan mendapatkan permukaan baharu (dalaman) kayu. Lakukan langkah mengetam kayu secara berperingkat-peringkat dengan kedalaman potongan 0.5 milimeter (mm) setiap satu laluan (kayu yang dimasukkan ke dalam mesin).
Melebihi kedalaman yang disarankan boleh menyebabkan hayat mesin berkurang disebabkan bebanan berlebihan akibat pemotongan.
Setelah meratakannya, tetapkan rip fence pada jarak 3/8 inci daripada bilah pemotong untuk mendapatkan ketebalan kayu secara keseluruhan. Dengan kemudahan rip fence, awda hanya perlu menyorongkan secara perlahan material yang hendak dipotong untuk mendapatkan ukuran yang sama.
Hasil pemotongan menggunakan mesin pemotong kayu tersebut kadangkala menghasilkan permukaan yang kasar disebabkan keadaan bilah mesin yang kurang tajam. Hal ini boleh diselesaikan dengan cara menggosok permukaan kayu menggunakan kertas pasir berukuran 120 grit bagi meratakannya.
Apabila kesemua kayu telah dipotong, langkah seterusnya memerlukan awda untuk menetapkan rip fence dengan jarak 1¾ untuk lebar kayu bahagian rangka atas dan bawah talam. Setelah itu potongkan kayu tersebut dengan panjang 16¼ inci untuk dua batang yang akan dijadikan kayu rangka atas dan bawah.
Sementara itu, untuk kayu yang akan dijadikan bahagian sisi kiri dan kanan (pemegang talam), awda perlu memotong dua keping kayu dengan lebar 2¼ inci dan panjang 9½ inci.
Pada ketika ini, awda sepatutnya memiliki empat batang kayu untuk kesemua bahagian rangka talam.
Bagi bahagian bawah talam, tempat meletakkan hidangan pula akan dibuat daripada papan lapis. Ia akan dipotong dengan ukuran 12¼ inci panjang dan 9½ inci lebar. Ukurannya perlulah bersesuaian dengan rangka utama rekaan bagi membolehkannya dicantumkan nanti. dalam memastikan ia dipotong dengan rata, awda perlu terlebih dahulu menandakan kedudukannya menggunakan pensel. Setelah menandakannya, menggunakan circular saw atau gergaji manual, memandangkan ia sukar untuk dipotong menggunakan mesin pemotong kayu jenis meja disebabkan ukurannya yang terlalu lebar.
Salah satu teknik untuk menggunakan mesin pemotong kayu meja bagi mendapatkan potongan yang betul-betul rata, awda perlu memotong papan lapis dengan ukuran kasar terlebih dahulu sebelum diteruskan menggunakan mesin pemotong kayu meja.
Setelah memotongkannya, langkah seterusnya ialah mencetak gambaran pada permukaan kayu menggunakan mesin pencetak laser. Gambaran yang diperlukan adalah bebas sesuai dengan minat tersendiri. Selain menggunakan mesin pencetak laser, awda juga boleh menggunakan alat wood burning namun memerlukan lebih banyak masa dan usaha untuk melakukannya.
Kayu untuk bahagian pemegang talam juga perlu ditebuk untuk mereka ruangan pemegang. Terlebih dahulu tandakan bahagian tengah kayu dari bahagian atas, bawah, kiri dan kanan. Setelah itu tandakan dengan garisan berukuran 4 inci untuk ruangan tangan dimasukkan. Setelah menandakannya, tebuk kedua-dua bahagian hujungnya menggunakan mata gerudi berukuran 1 inci. Dengan kedua-dua lubang yang telah ditebuk, awda hanya perlu memotong ruangan tersebut menggunakan mesin jig dengan menyambungkan kedua-dua lubang.
Bagi membolehkan bahagian bawah talam boleh dicantumkan dengan kayu rangka, terlebih dahulu ia perlu direka dengan alur pada bahagian bawah (1/2 inci dari bahagian hujung bawah kayu) dengan kedalaman ¼ inci dan lebar yang sesuai dengan ketebalan papan lapis. Langkah ini perlu dilakukan bagi keseluruhan kayu rangka talam.
Selesai mereka alur sebagai ruangan untuk mencantumkan bahagian bawah talam, awda kini boleh mencantumkan keseluruhan bahagian menggunakan gam kayu. Sapu keseluruhan permukaan cantuman termasuk rangka talam kemudian kekalkan kedudukan secara sementara menggunakan alat pengepit kayu. Biarkan gam mengering selama beberapa jam sebelum mengendalikan rekaan.
Bagi memastikan rekaan mampu bertahan lama, keseluruhan permukaan kayu perlulah dilindungi dengan cat agar kelembapan tidak menyerap ke dalam kayu. Gunakan cat bersesuaian untuk melaksanakannya dan sebaiknya cat yang mampu mengekalkan warna asli kayu merupakan yang terbaik. Lebih kurang dua lapisan cat diperlukan untuk memastikan ia benar-benar melindungi permukaan rekaan.
Apabila cat mengering, rekaan tersebut kini boleh digunakan untuk menghidangkan pelbagai juadah untuk tetamu yang datang bertandang.