DURIAN, raja segala buah. Meski sedap dimakan begitu sahaja namun durian juga boleh menjadi menu menyelerakan saat berbuka puasa.
Tidak perlu untuk berbelanja di luar kerana ia boleh disediakan sendiri. Resipi-resipi berikut adalah diharap dapat membantu anda menyediakan resipi berasaskan durian yang enak di dapur.
Keistimewaan durian bukan sahaja terletak pada aromanya yang menusuk hidung. Malah rasanya yang enak selalu dapat memancing selera ramai.
Maka, tidak hairanlah durian sentiasa mendapat tempat di hati peminatnya. Mahal macam mana sekali pun, durian tetap laku di pasaran.
Ternyata pelbagai jenis resipi boleh dihasilkan dengan durian. Daripada hidangan utama hingga hidangan pencuci mulut.
Seri Muka Durian
Bahan lapisan bawah:
250 gram beras pulut yang direndam selama satu jam dan toskan.
Sedikit garam
170 ml santan cair
Daun pandan
Bahan lapisan atas:
150 gram isi durian
120 gram gula mengikut kemanisan sendiri
3 biji telur
35 gram tepung gandum
10 gram tepung jagung
200 gram santan pekat
175 gram air
Secubit garam, sedikit pewarna kuning
Cara membuat Lapisan bawah:
Satukan semua bahan di atas di dalam periuk kukusan. Gaul sebati dan kukus sehingga pulut masak. Setelah pulut masak keluarkan daun pandan, masukkan pulut ke dalam Loyang dan padatkan. Ketepikan.
Lapisan atas:
Kisar isi durian dengan air sehingga halus dan ketepikan. Satukan telur, gula, tepung, santan, garam dan pewarna. Kisar semua sehingga sebati dan kemudian tapis serta campurkan dengan isi durian. Curah adunan ke dalam loyang pulut. Kukus lebih kurang 30-40 minit sehingga masak. Biarkan ianya sejuk sebelum dipotong.
Pengat Durian
Bahan-bahan:
10 ulas durian
1 ketul gula Melaka
2 cawan air
½ cawan gula pasir
3 cawan santan
Sehelai daun pandan
Sedikit garam
Cara membuat:
Satukan gula Melaka dan gula pasir, masak hingga larut. Kemudian tapis dan masukkan semula ke dalam periuk. Masukkan durian, santan, air, daun pandan dan garam. Kacau sehingga mendidih dan kecilkan api. Biarkan seketika. Selepas itu padam api dan ia sedia untuk dihidangkan.
Crepe Durian
Bahan crepe:
4 sudu besar tepung superfine
4 sudu besar tepung kastard
2 sudu besar tepung jagung
2 sudu besar tepung kentang
3 biji telur
¼ sudu teh garam
1 sudu besar minyak masak
Pewarna
Bahan inti:
Krim putar secukupnya
Isi durian secukupnya
Cara membuat:
Untuk membuat crepe, satukan semua bahan adunan crepe, kacau rata dan tapis. Panaskan kuali tanpa lekat, sapukan sedikit minyak atas kuali. Ambil sesenduk kecil adunan dan curahkan ke dalam kuali. Masak hingga mongering. Tidak perlu diterbalikkan. Angkat dan buat sehingga habis. Pukul krim putar sehingga kental sebagai inti. Sediakan sekeping crepe. Letakkan krim kental dan isi durian. Lipat crepe seperti kuih lepat. Enak dimakan ketika sejuk.