Hidangan lewat malam untuk peronda Operasi Pulih

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 8 OKT – Dalam menyokong pelaksanaan Operasi Pulih, yang melarang orang ramai keluar dari pukul 8 malam hingga 4 pagi, Brotherhood Seafood Paradise Restaurant telah mula mengagihkan makanan kepada para petugas barisan hadapan yang terlibat dalam operasi berkenaan, kelmarin.

Pemilik restoran berkenaan, David Chan ketika ditemui berkata bahawa sumbangannya itu adalah sebagai tanda penghargaan dan simpati terhadap petugas barisan hadapan yang terlibat secara langsung dalam pemantauan Operasi Pulih, yang terpaksa bekerja sepanjang malam bagi menguatkuasakan sekatan.

“Brotherhood Seafood Paradise meletakkan hidangan untuk makan lewat malam di luar restoran bagi kakitangan barisan hadapan yang berkaitan supaya mereka dapat makan melegakan kelaparan pada waktu malam,” katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa 20 hingga 30 hidangan disediakan setiap malam sebelum pukul 8 malam.

“Kemudian kami letakan di tepi jalan di luar restoran khusus bagi mereka yang terlibat dalam pasukan peronda Operasi Pulih dan pemandu-pemandu ambulans,” ujarnya sambil menambah, hidangan berkenaan adalah untuk yang datang dahulu, kerana tiada orang akan menjaga kawasan itu disebabkan sekatan.

Menurutnya, aktiviti berkenaan merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat restoran berkenaan dalam memberi balik kepada masyarakat.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Manzo Enterprise yang menyumbangkan kain rentang bagi projek berkenaan, yang dijadualkan berjalan setiap malam sehingga 17 Oktober depan.

Brotherhood Paradise Restaurant meletakkan makanan untuk peronda dan pemandu ambulans di luar restoran sebelum pukul 8 malam. – Gambar serahan Brotherhood Paradise Restaurant