OMAHA, NEBRASKA, 25 APRIL – Makan tengah hari paling mahal di dunia akan dijual sekali lagi pada musim bunga ini apabila pelabur Warren Buffett melelong hidangan peribadi untuk mengumpul dana untuk badan kebajikan California buat kali terakhir.
Buffett, Ketua Pegawai Eksekutif Berkshire Hathaway, mengadakan pelelongan makan tengah hari sekali setahun selama 20 tahun sebelum pandemik meletus untuk mengumpul dana untuk Yayasan Glide, yang membantu golongan tiada tempat berteduh di San Francsico.
Pelelongan telah terhenti selama dua tahun, namun Glide berkata hari ini, beberapa hari sebelum ribuan pemegang saham dijangka berkumpul pada mesyuarat agung tahunan Berkshire minggu ini, bahawa acara tersebut akan diadakan semula tahun ini.
Setiap bidaan yang menang sejak 2008 telah mencecah AS$1 juta, dan Buffett telah mengumpul hampir AS$34.5 juta untuk badan kebajikan berkenaan dalam beberapa tahun ini.
Namun jutawan berusia 91 tahun itu tidak menjawab soalan mengapa beliau memutuskan untuk menamatkan pelelongan selepas tahun ini.
Pada pelelongan terakhir pada 2019, seorang peniaga mata wang kripto membayar lebih AS$4 juta untuk peluang makan bersama Buffett. – AP