Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Hidangan tradisional di Mekah seperti berada di tanah air

    MEKAH – Menjengah ke kafeteria di setiap bangunan penginapan jemaah haji Malaysia di sini, terasa bagai berada di tanah air pada waktu pagi.

    Jualan nasi kerabu, nasi lemak, cekodok pisang, kuih kaswi, teh tarik dan kopi panas antara yang menjadi tarikan menu sarapan, apatah lagi ketika jemaah sedang berkumpul untuk menikmati suasana bersarapan bersama keluarga dan rakan.

    Mengambil inisiatif cita rasa Malaysia, Lembaga Tabung Haji (TH) memastikan makanan yang dijual dapat memenuhi selera jemaah dan menariknya mereka berpeluang memilih menu berbeza setiap hari bermula 4 pagi hingga 11 malam.

    Penyelia Kafeteria, Mohd Haruji Mohd Yahya berkata kesemua makanan habis dijual menjelang pukul 10 pagi sebelum diganti dengan menu lain dan rata-rata jemaah akan membeli selepas solat subuh dan kembali semula pada sebelah petang dan malam, terutama bagi yang mengerjakan umrah.

    Tambahnya, bagi menjamin kualiti makanan dan kebersihan, kesemua hidangan disediakan oleh tukang masak khas dengan mengekalkan resipi yang sama terutama kuih tradisional.

    Jemaah haji Malaysia memilih juadah yang dijual di kafeteria TH di setiap bangunan penginapan jemaah haji Malaysia, Mekah dan Madinah. – Bernama
    Antara juadah tradisional yang dijual di kafeteria tersebut. – Bernama

    “Kafeteria ini untuk memudahkan jemaah mendapatkan makanan dan setiap pagi kita akan jual hingga 10 jenis juadah. Menu yang sentiasa laris ialah nasi lemak dan burger.

    Sambutan memang sangat menggalakkan dan kita juga jual makanan yang sedia untuk dimakan dengan hanya meletakkannya di dalam air panas sahaja,” katanya yang turut merancang memperbanyakkan produk usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) pada masa akan datang.

    Sementara itu, jemaah yang ditemui Zaimah Sulong, 56, berkata kuih-muih yang dijual sentiasa memenuhi selera dan mempunyai rasa sama sepertimana dijual di tempat kelahirannya, Kuala Terengganu.

    Tambah beliau, meskipun harga sedikit mahal tetapi ketersediaan makanan tradisional ini sekurang-kurangnya dapat menghilangkan kerinduan ekoran perlu berada di Tanah Suci melebihi 40 hari.

    Shahril Fadzli Hanifa, 40an, pula berpendapat jualan di dalam bangunan penginapan memberi kemudahan kepada jemaah kerana mereka tidak perlu bergerak jauh terutama apabila cuaca panas.

    TH menyediakan kafeteria dengan konsep yang sama di bangunan penginapan jemaah di Abraj Al Janadriah, Qsar Al Janadriyah dan Lane Premium. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...