‘Hidden Gem’ diubah jadi kapal pengambilan nodul

NEW YORK, 22 SEPT – The Metals Company hari ini mengumumkan bahawa bekas kapal gerudi sepanjang 228 meter yang dinamakan semula sebagai Hidden Gem telah tiba di Rotterdam, Belanda.

Ketibaannya itu adalah untuk memulakan penukarannya menjadi apa yang diharapkan sebagai kapal pertama yang diklasifikasikan sebagai kapal perlombongan dasar laut oleh Biro Perkapalan Amerika.

Rakan strategik TMC Allseas memperoleh bekas kapal gerudi laut sangat dalam itu, yang dapat menampung 200 orang, pada Mac 2020.

Memandangkan konfigurasinya itu, ia sangat sesuai untuk pengubahsuaian yang akan membolehkan ia dikerah tugas di laut bagi sebuah penaik sepanjang 4.5 kilometer untuk membawa nodul polimetalik dari dasar laut.

Dalam perkongsian bersama The Metals Company (sebelum ini dikenali sebagai DeepGreen Metals Inc.), Allseas sedang membangunkan sebuah sistem pengumpulan mineral laut dalam untuk memulihkan nodul polimetalik dari dasar laut dan memindahkannya ke permukaan untuk dibawa ke pantai.

Nodul itu mengandungi nikel, mangan, tembaga dan kobalt yang berkualiti tinggi — logam utama yang diperlukan untuk membina bateri kenderaan elektrik dan teknologi tenaga boleh diperbaharui.

“Kami sangat gembira dapat menyaksikan Hidden Gem di sini di Eropah dan untuk melihat Allseas membuat kemajuan yang hebat bersamanya,” kata Gerard Barron, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif bagi The Metals Company.

“Kapal tersebut telah berjaya memulakan fasa penyelenggaraan dok kering, yang merupakan petanda baik bagi penukaran yang lancar dan tepat pada masanya bagi projek perlombongan perintis kami pada tahun 2022.”

TMC dan Allseas menjangkakan kapal tersebut akan dapat beroperasi untuk ujian perintis bagi pengumpulan nodul menjelang pertengahan tahun 2022. – Bernama

Kapal sepanjang 228 meter itu dijangka menjadi yang pertama diklasifikasikan sebagai sebuah kapal perlombongan dasar laut di bawah Biro Perkapalan Amerika. – Bernama