Hidup bersama COVID-19 dengan vaksinasi

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OGOS – Beberapa buah negara sudah pun hidup bersama COVID-19 kerana menganggapnya satu endemik, namun salah satu cara untuk hidup bersamanya ialah dengan vaksinasi kerana koronavirus itu tidak pasti bila akan hilang.

Contoh negara-negara luar negara yang sudah hidup bersama virus tersebut ialah Singapura dan Eropah kerana menganggapnya sama seperti virus lain seperti H1N1 yang tidak akan hilang dan akan terus menjangkiti orang ramai.

Sehubungan itu, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menekankan kepentingan program vaksinasi ketika menjawab soalan oleh pengamal media pada sidang media bagi situasi terkini jangkitan di negara ini di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Menurutnya lagi, wabak ini sangat berjangkit dan boleh melemahkan sistem kesihatan, untuk itu bagi mengawal penularannya, orang ramai perlu mengikuti beberapa prosedur
seperti penjarakan fizikal, selain meningkatkan kapasiti vaksinasi penduduk di negara ini.

“Jika lebih 70 sehingga 80 peratus penduduk telah divaksinasi, ketahanan terutama dari segi penjagaan kesihatan akan terkawal,” tambahnya.

Salah satu cara untuk hidup bersama wabak COVID-19 ialah dengan vaksinasi penduduk. – Gambar fail sebelum gelombang kedua penularan kes komuniti