Hidup dibelenggu kemiskinan akibat virus

BANGKOK, 31 MEI – Sambil menyeret kaki di sekitar rumah setinggan mereka yang sempit yang terlalu kecil untuk berdiri, Thanapat Noidee dan isterinya Papassom berkongsi mi hasil sumbangan amal bersama anak lelaki mereka akibat belenggu kemiskinan yang semakin meruncing.

Pondok kayu yang menjadi tempat tinggal mereka terletak di tengah daerah komersial dengan dikelilingi hotel bertaraf lima bintang dan restoran mewah.

Mereka berkongsi ruang kecil bersama dua anak mereka, Woraphat dan Kittipat, masing-masing berusia enam dan tujuh tahun.

Di bawah siling setinggi 1.2 meter, suami isteri terpaksa membongkok untuk bergerak di dalam bilik tunggal yang menjadi tempat tidur, ruang tamu dan kawasan makan.

Di tingkat bawah, satu saluran paip digunakan untuk mandi dan lantai konkrit dijadikan kawasan dapur, ruang yang dikongsi bersama tikus yang memanjat di atas pinggan mereka.

Woraphat Noidee (kiri) bermain dengan mainan sementara abangnya Kittipat belajar di rumah mereka di Bangkok. – AFP

Papassom hilang pekerjaan selepas Thailand melaksanakan lockdown untuk membendung penularan koronavirus pada Mac.

“Saya terpaksa pinjam wang untuk membayar bil elektrik,” katanya.

“Penggal sekolah akan dibuka semula pada 1 Julai dan saya terpaksa cari duit bagi menampung perbelanjaan.”

Parlimen Thailand hari ini dijangka mengundi sama ada meluluskan pakej rangsangan berjumlah AS$60 bilion untuk memulihkan ekonomi yang terkesan akibat pandemik.

Jika diluluskan, ia akan menjadi suntikan kewangan terbesar dalam sejarah Thailand untuk membantu golongan miskin. – AFP