Hidup penuh kemewahan di tengah lockdown

BANGKOK – Makanan bawa pulang yang dihantar oleh pembantu rumah dalam kereta sedan hitam – golongan amat berada Thailand belum mengorbankan kemewahan semasa pandemik yang telah mengurung warga seluruh negara, memusnahkan ekonomi dan mengakibatkan jutaan penduduk menganggur.

Thailand merupakan salah sebuah negara tidak sama taraf di dunia dan jurang di antara golongan kaya dan miskin semakin luas tatkala koronavirus meragut pekerjaan, menyebabkan 22 juta penduduk mendaftar untuk pemberian wang kerajaan.

Beratus orang berbaris setiap hari untuk mendapatkan sumbangan makanan di seluruh Bangkok, petanda suram tentang ramalan pengecutan ekonomi yang mencecah lebih daripada enam peratus pada tahun ini, yang paling teruk sejak krisis kewangan Asia pada 1997.

Bagi penduduk kaya di Bangkok, pandemik telah membawa kesulitan akibat sekatan pergerakan – dengan perintah berkurung pada malam masih dikenakan meskipun pembukaan semula beberapa perniagaan – namun masih menjalani gaya hidup yang mewah.

Syarikat tempahan Kelab Silver Voyage telah mengubah suai perkhidmatannya untuk memenuhi permintaan golongan elit, menghantar makanan mewah dari restoran mahal dan terkenal.

Seorang pekerja dari restoran mewah Thai At-Ta-Rote memasukkan makanan yang dipesan untuk dihantar oleh perkhidmatan White Glove Delivery. – AFP

Seorang pekerja dari restoran mewah Thai At-Ta-Rote memasukkan makanan yang dipesan untuk dihantar oleh perkhidmatan White Glove Delivery. – AFP

“Pelanggan utama kami adalah individu kaya yang terdiri daripada VIP dari bank,” kata pengasas syarikat Jakkapun Rattanapet.

Perkhidmatan tempahan dilancarkan sebagai sebahagian daripada program ganjaran apabila pemegang akaun bank mempunyai ‘sekurang-kurangnya AS$1 juta,” jelasnya.

Syarikatnya melancarkan perkhidmatan White Glove Delivery selepas perniagaan tempahan mereka merosot apabila perjalanan perniagaan global terhenti.

Daging lembu wagyu, makanan laut dan dim sum ditawarkan dari 20 buah restoran, ada di antaranya ditempatkan dalam hotel mewah atau disenaraikan dalam Buku Panduan Michelin.

Pelanggan termasuk selebriti dan ketua korporat, makanan mereka dihantar dalam kotak yang dibungkus dengan teliti kepada pengurus rumah tangga mereka di kawasan mewah Bangkok atau ke ibu pejabat syarikat.

Seorang pembantu – memakai sarung tangan putih – juga boleh datang bersama untuk menyediakan meja dan menghidangkan makanan.

Sebagai sebahagian daripada usaha memerangi COVID-19, White Glove juga menyumbang 1,000 makanan sehari kepada pekerja barisan hadapan di hospital, kata Jakkapun.

Thailand mempunyai 27 jutawan, menurut majalah Forbes, dengan keluarga Chearavanont yang mengetuai konglomerat agro-industri CP Group menduduki senarai teratas dengan nilai dianggarkan berjumlah AS$27.3 bilion.

Mereka menderma AS$29 juta kepada kerajaan pada bulan lalu pada hari yang sama Perdana Menteri Prayut Chan-O-Cha menyeru golongan jutawan negara supaya menghulurkan sumbangan untuk membantu menangkis kegawatan ekonomi negara.

Sekatan ke atas restoran Bangkok dilonggarkan pada Ahad untuk membenarkan pelanggan makan dalam restoran dengan mengamalkan penjarakan sosial.

Namun dengan alkohol dikeluarkan daripada menu, kebanyakan perniaagan makanan masih bergantung pada penghantaran untuk pendapatan.

Dalian, sebuah restoran Cina di pusat bandar Bangkok, memperoleh 3,000 baht sehari, kemerosotan sebanyak 80 peratus berbanding sebelum pandemik, kata pengurus Jay, yang enggan memberikan nama terakhirnya.

Restoran itu sedang beralih kepada aplikasi penghantaran untuk sampai kepada pelanggan yang kebanyakannya masih tinggal dalam rumah, meskipun komisen tinggi mereka sebanyak kira-kira 30 peratus.

“Komisen adalah agak tinggi, namun kami tidak mempunyai pilihan lain,” beritahunya kepada AFP. – AFP