Hidup Zamani bermakna dengan kehadiran isteri

Penyanyi bersuara lemak merdu, Zamani (gambar bawah), 49, bersyukur sempat mendirikan rumah tangga bersama isteri tersayang, Nur Juliana Abd Rani, 37, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa.

Jika tidak, hidupnya pasti terasa kesunyian apabila terpaksa menjalani tempoh PKP secara bersendirian. Kehadiran wanita yang dikenali sejak 14 tahun itu banyak mengubah hidupnya, sambutan Ramadan dan Syawal juga lebih bermakna dengan kehadiran wanita bergelar isteri dalam hidupnya.

Sejak pemergian orang tuanya, anak bongsu daripada tiga beradik itu hanya menumpang kasih dengan kakak, tetapi ia tidak sama dengan kehadiran seorang isteri. Zamani dan Nur Juliana bernikah secara tertutup di sebuah lokasi di Ampang pada 20 September lalu.

“Hidup saya sering sahaja kesunyian selepas pemergian orang tua. Namun, saya akui mendapat kegembiraan semula selepas mendirikan rumah tangga sejak lapan bulan lalu.

“Saya boleh menjalani ibadat puasa bersama isteri. Jika sebelum ini, waktu sahur selalu ‘terbabas’, tetapi Alhamdulillah, saya dapat bersahur dengan sempurna apabila sudah beristeri,” kongsi Zamani.

Berkongsi sambutan Syawal, Zamani bercadang pulang ke kampung halaman Nur Juliana di Terengganu untuk berkenalan dengan sanak saudara sebelah isterinya itu. Namun, katanya, disebabkan tempoh PKP, mereka terpaksa menangguhkan hasrat berkenaan dengan hanya meraikan Syawal bersama kakaknya yang tinggal berhampiran.

“Saya belum berkesempatan pulang ke kampung halaman isteri kerana jadual kerjaya yang padat. Jadi, kami merancang mengambil kesempatan Syawal untuk menziarahi sanak saudara, sambil berkenalan. Namun, ia belum kesampaian kerana tidak boleh merentas negeri.

“Insya Allah, kami akan pulang ke Terengganu selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berakhir,” katanya kepada media.

Mengulas perkembangan kerjaya seninya, Zamani berkata, kerjaya nyanyian terjejas akibat tempoh PKP. Beberapa undangan persembahannya tergendala.

“Saya akui hilang punca pendapatan, tetapi situasi begini bukanlah baharu dalam hidup saya. Sejujurnya, undangan persembahan semakin berkurangan sejak dua hingga tiga bulan sebelum tempoh PKP dilaksanakan.

“Ada hikmah di sebalik kurang undangan nyanyian. Ia memberi peluang kepada saya menjalani rawatan tulang belakang yang bengkok.

“Saya mendapat rawatan urut daripada orang buta, tetapi baru sempat menjalani lima sesi rawatan. Saya tak teruskan sebab tempoh PKP dikuat kuasa,” katanya.

Di sebalik rentak kerjaya nyanyian perlahan, Zamani berkata, dia bersyukur dilamar KRU Music untuk menghasilkan single raya berjudul Syawal Ini. Lagu ciptaan Neo yang diterbitkan Bajai sudah siap sejak Februari lalu.

Bagaimanapun, katanya, dia hanya berpeluang memasuki studio untuk rakaman pada 4 Mei lalu akibat tempoh PKP.

“Kami menyiapkan rakaman dalam tempoh yang singkat. Selepas tiga kali berlatih, saya terus memasuki studio untuk proses rakaman. Jika sebelum ini boleh mengambil masa selama satu atau dua bulan, tetapi lagu Syawal Ini berjaya disiapkan dalam tempoh seminggu.

“Mulanya, saya bimbang mahu keluar berikutan banyak sekatan jalan raya, tetapi Alhamdulillah, saya tak menempuh halangan, sebaliknya menyiapkan lagu ini dengan cepat.

“Ini adalah kali pertama saya bekerjasama dengan Bajai. Saya seronok bekerjasama dengannya. Insya Allah, sekiranya ada rezeki, saya ingin bekerjasama Bajai untuk lagu komersial pula,” katanya.

Single Syawal Ini mengisahkan keinsafan seorang insan kerana masih dapat meraikan Syawal walaupun terpaksa mengharungi pelbagai cabaran. Ia mengangkat kisah ibu bapa yang sudah tiada dan doa anak merindui mereka.

Zamani berkata, tidak menafikan lirik lagu berkenaan seperti mempunyai persamaan dengannya, tetapi kini, hidupnya semakin sempurna dengan kehadiran isteri.

Selain projek lagu bersama KRU Music, Zamani berkata, dia bersama anggota Slam dijangka merakamkan semula dua lagu raya milik penyanyi lain.

“Proses rakaman akan dilakukan saya dan anggota Slam di kediaman masing-masing dan akan disiarkan menerusi platform digital, tidak lama lagi,” katanya. – Agensi