Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Hidupkan dongeng melalui patung kertas

    JEPUN – Hujung gunting yang tumpul dengan pemegang berwarna kuning mungkin mengembalikan memori sesetengah orang Jepun ketika mengingati kelas seni zaman kanak-kanak mereka.

    Bagi artis yang berpangkalan di Kobe, Junko Kitamoto, itu adalah gunting paling tepat yang masih digunakannya sehingga kini.

    Dia memotong kertas untuk mencipta seni, terutamanya menggambarkan watak dari cerita dongeng. Setiap watak yang dibuatnya tidak lebih sebesar duit syiling 500 yen. Namun ketika melihat secara dekat, jari watak-watak itu boleh dilihat menunjukkan keteperincian Kitamoto pada krafnya.

    Beliau merupakan seorang pekerja sepenuh masa sebuah syarikat. Karya seninya dicipta di bawah nama Kiironohasami, yang bermaksud ‘gunting kuning’.

    Kitamoto memulakan seni kertasnya menggunakan sepasang gunting kuning yang sama dimilikinya sejak tadika. Selepas menggunakan gunting berkenaan selama lebih daripada 30 tahun, pemegangnya patah jadi dia telah menggantikan dengan gunting tepat yang digunakan sejak tujuh atau lapan tahun yang lalu. Kitamoto giat berusaha demi mendapatkan gunting yang sama.

    Junko Kitamoto tersenyum sambil memegang gunting kuning kegemarannya dan dikelilingi oleh beberapa anak patung kertas yang dibuatnya. – ANN/The Japan News
    Patung buatan Kitamoto yang menggambarkan adengan kisah The Emperor’s New Clothes. – ANN/The Japan News

    Kitamoto memotong kertas untuk rambut anak patung menggunakan gunting kuning. – ANN/The Japan News
    Antara patung buatan Kitamoto yang memakai pakaian tradisi. – ANN/The Japan News

    “Ia padan dengan tangan saya dan berfungsi dengan sempurna,” katanya. “Saya tidak boleh berkarya tanpa gunting ini.”

    Dia pernah meminjam gunting daripada seorang artis pemotong kertas. Gunting itu memotong dengan tajam, tetapi bahagian yang dipotong terasa agak aneh dan tidak cocok dengan tangannya.

    Ketangkasan manual Kitamoto adalah kepakarannya. Semasa kecil, dia membuat anak patung daripada kertas. Semasa zaman sekolah rendahnya, dia menghantar kad hari jadi buatan tangan kepada rakan-rakannya.

    Pada suatu hari, dia menemui sepucuk surat yang mengandungi syiling 500 yen di dalam peti surat di rumahnya. Surat itu daripada seorang kawan yang memintanya membuat beberapa kad ucapan. Kitamoto terkejut bahawa seseorang akan membayar kad buatan tangannya. Ketika itulah idea ini muncul di kepalanya: “Alangkah baiknya jika saya boleh menjadi seorang artis seni suatu hari nanti.”

    Selepas dia mula bekerja di sebuah syarikat, dia mula menjual hasil ciptaannya di pasar lambak dan bazar. Pada mulanya, dia membuat kad ucapan, kemudian mula membuat haiwan dengan memotong dan menampal bersama kertas berwarna. Dia akhirnya mencipta anak patung kertas yang lebih rumit.

    Dia menggelar gaya kerjanya ‘kiribari-e’ (seni potong dan tampal). Apa yang dia perlukan untuk seninya ialah gunting, kertas berwarna, pelekat, pen hitam untuk ciri muka dan pen merah untuk pipi.

    Untuk membuat anak patung kiribari-e, dia memotong rambut, kepala, pakaian, anggota badan dan kasut. Kemudian dia memasangnya dengan melekatkannya sekeping demi sekeping. Dia berkata tidak perlu melukis reka bentuk dan dia hanya memotong kertas sambil membayangkan kerja yang telah siap dalam fikirannya.

    Seluruh proses kelihatan mudah, tetapi setiap bahagian yang dipotong adalah kecil. Agak luar biasa ketika Kitamoto melukis mata, hidung dan mulut pada muka berukuran 5 milimeter diameter. Dia menggunakan gunting bersaiz kanak-kanak miliknya untuk memotong tangan yang lebih kecil daripada sebutir beras dengan kemahiran yang mengagumkan.

    Anak patungnya mempunyai ekspresi pada wajah mereka. Anggota badan anak patung ini kelihatan menampilkan imej semula jadi dan meriah. Peminat sering mengatakan mereka tidak pernah jemu melihat anak patung buatan Kitamoto.

    Mengapa Kitamoto membuat anak patung kertas dalam saiz yang kecil?

    “Kerana tanpa sebarang sebab ia kelihatan comel,” katanya.

    Pernah dicadangan seseorang, dia cuba membuat anak patung bersaiz hidup, tetapi keseluruhan prosesnya sangat berbeza sehingga dia menjadi bingung dan berputus asa.
    Dia mungkin boleh membuat anak patung yang lebih kecil, tetapi, dia berkata, “Saya tidak mahu membuat perkara yang buruk dengan mengejar kekecilan, jadi ini adalah saiz yang paling sesuai bagi saya.”

    Oleh kerana dia bekerja sepenuh masa, dia terlibat dalam kegiatan kreatif kebanyakannya pada hujung minggu.

    Selepas sebuah kedai serbaneka bersetuju untuk menjual karyanya dan dia menyerahkan karya kepada pempamer, ciptaan Kitamoto telah dikenali ramai. Karya-karyanya juga telah menembusi buku kecil muzium dan poster pameran.

    Semasa membuat siri tentang pekerja kilang sake, sebuah kilang bir tempatan mendengar berita itu dan menjemputnya untuk mengadakan pameran di muzium kilang bir itu.

    “Agak pelik, ketika saya menumpukan pada kegiatan kreatif, perkara tidak berjalan dengan baik,” katanya. “Apabila saya penat dan memutuskan untuk berehat, saya mendapat tawaran.”

    Kitamoto masih mempunyai enam pasang gunting kuning yang tidak digunakan, yang sukar diperolehinya. Dia sering pergi kedai bekalan seni yang menyediakan banyak kertas berwarna kepadanya.

    “Saya mempunyai bekalan kedua-duanya hampir untuk seumur hidup,” kata Kitamoto. “Mungkin dewa kertas memberitahu saya untuk meluangkan masa berkarya.” – ANN/The Japan News

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...