Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN 17 Feb – Negara Brunei Darussalam akan menyambut Hari Kebangsaan ke-33 pada 23 Februari ini dan selaku rakyat dan penduduk di negara ini, patut bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana mengurniakan nikmat keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran.
Semua ini adalah berkat berpegang teguh dengan ajaran agama Islam iaitu mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang di samping hidup bersatu padu tanpa mengira bangsa dan agama.
Perkara ini dijelaskan oleh khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini yang seterusnya menambah, kita juga perlu bersyukur kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku pemimpin negara, menjunjung tinggi ajaran Islam dalam pemerintahannya dan menjadikan Melayu Islam Beraja sebagai falsafah Negara.
Menurutnya, ini merupakan satu keistimewaan negara yang menghidupkan semangat kebangsaan, ketaatan kepada raja dan menjunjung tinggi agama Islam dengan penuh iltizam serta menerajui Wawasan 2035.
Khatib menambah, selaku rakyat, kita mestilah membuka minda untuk memperkukuhkan wawasan tersebut yang mana tema sambutan tahun ini, ‘Menjayakan Wawasan Negara.’
“Wawasan Negara 2035 adalah gagasan Baginda Sultan di mana pandangan Baginda yang jauh ke hadapan adalah bagi memastikan negara mempunyai rakyat yang berpendidikan, berkemahiran dan berjaya, kehidupan yang berkualiti dan ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.”
Sehubungan itu, ke arah mencapai wawasan tersebut, khatib mengingatkan, perlunya bersatu untuk taat setia kepada raja dan negara di samping yakin kepada nilai-nilai Islam, mengamalkan nilai-nilai mulia dan sifat berbaik-baik sesama bangsa, agama dan negara.
Dalam memastikan Wawasan Brunei 2035 dapat dicapai dengan jayanya, setiap rakyat dan penduduk diseru untuk mengambil peranan dan menjadikan diri sebagai aset yang berguna dalam pembangunan negara.
Ke arah mencapai Wawasan 2035, tegas khatib lagi, adalah penting bagi rakyat dan penduduk negara ini untuk melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran selain menyediakan diri dengan pembangunan negara serta meningkatkan daya saing, berinovatif, kreatif, membangun ekonomi, politik, sosiobudaya, keselamatan dan sebagainya.
“Untuk mencapai kejayaan dalam survival bangsa dan negara, rakyat dan penduduk di negara ini perlu bersatu padu sama ada dalam sektor kerajaan dan swasta bersama-sama meningkatkan usaha dalam pembangunan negara bagi mencapai Wawasan 2035,” jelasnya.
Sempena dengan sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33 untuk sama-sama menzahirkan rasa syukur atas keamanan dan kemakmuran yang dinikmati pada masa ini, khatib menyeru agar beramai-ramai hadir ke masjid-masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara pada petang Rabu, 22 Februari 2017 bagi sama-sama sembahyang fardu Maghrib dan Isyak berjemaah, membaca Surah Yasin dan doa kesyukuran dengan tumpuan utama di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara.
“Mudah-mudahan dengan itu, negara akan menjadi sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat seterusnya menjadi Baldatun Thayyibatun Wa Rabbun Ghafur iaitu negara yang aman makmur dan Tuhan yang Maha Pengampun,” ujarnya.