Hidupkan semula Hari Raya zaman 60an

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 28 Jun – Sambutan Hari Raya Aidilfitri terus meriah di sana-sini dengan kunjungan ke rumah-rumah terbuka saudara-mara, rakan-rakan dan sebagainya.

Lebih menarik, ada juga yang menggunakan tema-tema tertentu selain acara sampingan atas inisiatif dan kreativiti masing-masing dalam memeriahkan lagi majlis rumah terbuka seperti yang diadakan oleh keluarga Awang Mohd Ali bin Haji Sapar di rumahnya di sini, hari ini, yang membawakan tema pakaian era 60an zaman kegemilangan seniman P. Ramlee dan seniwati Saloma.

Awang Mohd Ali memberitahu Media Permata, mereka sepakat untuk mengadakan majlis rumah terbuka bersama ahli keluarga, rakan-rakan dan sebagainya pada sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dengan tema pakaian era 60an yang dipopularkan oleh seniman-seniman zaman tersebut.

Anggota keluarga Awang Mohd Ali menggayakan semula kunjungan Hari Raya ala-ala zaman 60an.

Beliau memberitahu, perkara itu sudah dibincangkan lebih awal untuk sama-sama membuat persiapan menghasilkan pakaian dan produk yang menyerupai era tersebut yang juga termasuk dari segi perhiasan serta cara berkunjung dari rumah ke rumah.

Mereka juga merentasi kawasan yang agak semak untuk menampilkan nostalgia era 60an yang belum mempunyai banyak kemajuan dari segi laluan dan sebagainya.