Penularan gelombang kedua pandemik COVID-19 yang bermula Ogos lalu, tidak melemahkan semangat pelajar dan guru-guru untuk terus mengadaptasi kaedah baharu pembelajaran secara dalam talian.
Norma baharu dari segi pembelajaran dan pengajaran dalam talian akan menjadi mudah jika kedua-duanya saling bekerjasama, walaupun sukar pada awalnya dengan seawal pukul 8 pagi para pelajar dikehendaki bersedia untuk memulakan pembelajaran namun ia merupakan hakikat pembelajaran yang perlu dijalani oleh setiap pelajar demi masa depan mereka.
Bagi pelajar-pelajar yang bersekolah di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS), satu keunikan yang dilakukan oleh seorang tenaga pengajarnya iaitu Pegawai Ugama, Pengiran Haji Mohd Norhadi bin Pengiran Haji Bongsu adalah untuk membawakan suasana sekolah ke rumah.
Para pelajar Tahun 10 Zanbaq digalakkan untuk memakai pakaian seragam ketika sesi pembelajaran dalam talian iaitu mata pelajaran Al-Quran yang diajarnya.
Menurut Pengiran Haji Mohd Norhadi, inisiatif itu dilakukan untuk membawa suasana pembelajaran di sekolah ke rumah di mana selama dua bulan pembelajaran dilakukan secara dalam talian, mungkin saja dengan memakai seragam sekolah, ia dapat mengubati kerinduan para pelajar untuk belajar seperti biasa di dalam bilik darjah di sekolah.
“Tidak dinafikan pembelajaran di rumah sangat berbeza dibandingkan dengan di sekolah.
Secara tidak langsung, serba sedikit dapat mempengaruhi jiwa sebagai pelajar,” ujarnya sambil menambah, dari sudut psikologi, pakaian dapat mempengaruhi jiwa.
“Justeru itu, saya berharap dengan sedemikian dapat mendisiplinkan pelajar, menyuntik semangat mereka untuk fokus dan komited terhadap pelajaran.
“Mungkin saja ada sebilangan beranggapan pembelajaran dalam talian adalah kurang formal tetapi insya-Allah cara ini para pelajar akan lebih sedar akan peranan dan tanggungjawab mereka sebagai pelajar.”
Usaha Pengiran Haji Mohd Norhadi itu disambut dengan senang hati oleh para pelajarnya di mana salah seorang pelajar iaitu Dayang Siti Afifah Batrisya berkata, “Ada ketikanya semangat belajar secara dalam talian boleh menurun, apa lagi jika mengenang suasana belajar di dalam kelas bersama kawan-kawan dan cikgu.
“Tapi Alhamdulillah dengan cara macam ani seolah-olah kami macam benar-benar berada di dalam kelas,” kongsinya.
Sementara itu, bagi Dayang Durratul Amanda Sazwana binti Mahmud Kashfi, pemakaian pakaian seragam sekolah itu merupakan saat yang ditunggu-tunggu olehnya kerana beliau rindu untuk pergi ke sekolah.
Baginya memakai pakaian seragam sekolah itu, membuatkan dirinya berasa sangat seronok dan teruja untuk menghadiri sesi pembelajaran dalam talian.
Nilai semula sistem pendidikan
Melihat kepada krisis yang dialami sekarang, adalah lebih baik untuk menilai semula sistem pendidikan yang ada dan bagaimana untuk meningkatkan lagi keberkesanannya.
Sudah tiba masanya untuk memantapkan lagi proses pembelajaran dalam talian di negara kita, sama seperti yang dilaksanakan di beberapa buah negara luar yang maju.
Selain itu, memetik kenyataan Kementerian Pendidikan dalam laman webnya, menekankan yang kementerian berkenaan juga terus berusaha melaksanakan pelan kesinambungan pembelajaran melibatkan transisi pembelajaran pelajar dari satu jenis kaedah pembelajaran kepada kaedah yang lain dalam tempoh yang singkat dan cepat berubah.
Pelan bagi kesinambungan pembelajaran itu, menurutnya bukan sahaja melibatkan penggunaan teknologi tetapi juga alternatif lain yang boleh digunakan pelajar.
Dalam keadaan krisis masa ini, tidak ada jawapan mudah bagi memastikan pembelajaran maksimum. Meskipun usaha utama giat dijalankan, sekolah-sekolah mungkin mempunyai pelan yang berbeza agar dapat disesuaikan dengan keperluan pelajar.
Dari yang demikian, Kementerian Pendidikan akan terus berusaha memberikan alternatif kepada para pelajar yang ibu-bapa mereka tidak mempunyai akses kepada peralatan komunikasi atau peranti bagi memastikan pembelajaran anak-anak tidak tercicir.