KAZAN ARENA, 21 Jun – Jurulatih Sepanyol, Fernando Hierro mengakui bahawa pasukannya dalam kedudukan terdesak sebelum jaringan Diego Costa memberikan kemenangan pertama mereka di Piala Dunia lewat semalam, ketika Iran nyaris mencipta kejutan besar.
Kemenangan di Kazan meletakkan pemenang 2010 itu dalam laluan ke peringkat 16 terakhir, tetapi Iran mendapati jaringan penyamaan mereka dibatalkan kerana ofsaid.
“Kami memperoleh tiga mata, namun ia adalah perlawanan ynag rumit dan sukar. Kedua-dua separuh masa sangat sengit,” kata Hierro.
“Kami bermula dengan baik tetapi Iran adalah pasukan yang sukar, bukan mudah untuk menjaringkan gol menentang mereka.”
Costa, yang telah menjaringkan dua gol dalam perlawanan pembukaan 3-3 dengan Portugal di Sochi, mencipta kontroversi di awal pertembungan Kumpulan B apabila dia memijak kaki penjaga gol Iran, Ali Beiranvand.
Namun tindakannya tidak dihukum dan penyerang Atletico Madrid itu memerlukan nasib pada minit ke-54 apabila sepakannya melantun pada Ramin Rezaeian dan menewaskan Beiranvand selepas menerima hantaran daripada Andres Iniesta.
Ketika perlawanan memasuki sejam, kesemua pemain di bangku simpanan Iran meluru ke padang apabila Saeid Ezatolahi menjaringkan gol penyamaan untuk Iran.
Tetapi ribuan penyokong Iran yang memenuhi stadium dengan bunyi vuvuzela telah dikecewakan apabila ia dibatalkan kerana ofsaid.
Dnegan tiga mata dari dua perlawanan, Iran masih mempunyai peluang untuk layak jika mereka boleh mendapatkan keputusan yang dimahukan ketika menentang Portugal Selasa depan. – AFP