TURIN, 28 Sept – Gonzalo Higuain memberikan tolakan ke atas kempen Liga Juara-Juara untuk Juventus apabila keluar dari bangku simpanan bagi memberikan kemenangan 2-0 dalam Kumpulan D ke atas Olympiakos awal pagi tadi.
Skuad Massimiliano Allegri perlu menyalakan semula kempen Eropah mereka selepas kecundang 3-0 kepada Barcelona di Sepanyol dua minggu lalu.
Dan Higuain menunjukkan sengatannya selepas tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama oleh Allegri dengan menjaringkan gol pembukaan selepas 69 minit dan membantu jaringan Mario Mandzukic bagi gol kedua perlawana pada minit ke-80 di Stadium Allianz.
Juventus kini berada di kedudukan ketiga Kumpulan D, yang dipimpin oleh Barcelona, tetapi di belakang Sporting Lisbon, yang tewas 1-0 di gelanggang sendiri kepada Barca, melalui perbezaan jaringan.
Bgai Olympiakos, kekalahan kedua selepas perlawanan pembukaan kepada Sporting menempatkan mereka di tangga tercorot.

“Saya membuat pilihan dan Higuain tidak sebagus yang lain,” kata Allegri mengenai keputusannya untuk menempatkan penyerang Argentina itu di bangku simpanan bagi dua perlawanan berturut-turut selepas derbi Turin hujung minggu lepas.
“Tetapi kita sudah menyaksikan bahawa dia sudah bergerak dengan berbeza. Dia tidak pernah menjadi masalah dan tidak akan pernah. Dia adalah pemain yang mampu membuat perbezaan dan memenangi perlawanan untuk kami.
“Hari ini kami bermain perlawanan bijak dan sabar. Mereka bertahan dengan baik, mereka menutup semua ruang. Ia bukan mudah tetapi pasukan kuat menang.”
Jurulatih Olympiakos, Takis Lemonis secara mengejut mendapat tugas itu bagi kali keempat selepas Besnik Hasi dipecat setelah kekalahan derbi kepada AEK. – AFP