Hijrah daripada kelemahan, keburukan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Kita memanjatkan doa kerana kita yakin kepada kesan baik berdoa iaitu memohon perlindungan dan pertolongan Allah SWT dalam kehidupan bermasyarakat, berbangsa dan bernegara.

“Kita yakin bahawa doa itu ada berkatnya yang mana kita dapat nikmati keamanan dan kemakmuran hidup yang berterusan di bumi Darussalam yang bertuah ini,” jelas khatib semasa Khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Memperbaiki diri dengan muhasabah’.

Khatib menekankan lagi, doa itu satu ibadah dan sebagai satu tanda keimanan dan keyakinan, ia tempat untuk mengadu, tanda tempat untuk memohon pertolongan dan perlindungan selain kepada Allah.

Kehadiran awal Muharam pada tahun baharu ini, adalah waktu yang sangat sesuai untuk semua bermuhasabah iaitu menilai dan memperbaiki akan kesilapan dana pa juga kekurangan diri sendiri.

Khatib menjelaskan, Rasulullah SAW menyifatkan orang yang sentiasa bermuhasabah diri itu sebagai orang yang bijak. “Kita selaku hamba Allah dituntut untuk bermuhasabah, sama ada kita telah menyempurnakan dan menunaikan segala kewajipan yang telah diperintahkan Allah ke atas kita.”

Ini termasuk menilai kesungguhan dalam mentaati segala perintah dan larangan Allah seperti mendirikan sembahyang fardu lima waktu, menunaikan zakat, berpuasa, menjauhi perbuatan mungkar seperti curi, zina, riba, rasuah dan seumpamanya.

“Kita juga hendaklah menyemak atau memeriksa sama ada kita telah berhasil atau sebaliknya dalam menanai dan melaksanakan tugas, peranan dan tanggungjawab diri sebagai ibu bapa, tanggungjawab sebagai seorang anak, tugas sebagai seorang pelajar, tugas sebagai pegawai dan pekerja, ketua dan sebagainya.

“Jika setelah muhasabah itu, tugas dan tanggungjawab pada tahap yang baik, berusahalah menuju ke arah dan tahap yang lebih baik lagi,” jelasnya.

Manakala jika sebaliknya, apa yang dapat daripada hasil muhasabah itu, kita merasakan masih terdapat kekurangan, kelemahan dan keburukan, wajar kita memakai konsep hijrah iaitu melakukan perubahan dan berpindah daripada kekurangan, kelemahan dan keburukan kepada kebaikan.

Dengan memahami pendekatan seperti ini, tegas khatib, kita akan sentiasa teringat malah terdorong untuk memperbaiki segala kekurangan, kelemahan dan keburukan diri sendiri dengan semangat hijrah.

Kita juga hendaklah sentiasa bermuhasabah, ini kerana sifat manusia itu sendiri mempunyai banyak kelemahan dan kekurangan yang perlu kepada peringatan.

Jika kelemahan dan kekurangan ini, dibiarkan dengan begitu saja, tegas khatib, sudah tentu ia akan menyukarkan untuk melihat dan menilai kelemahan diri sendiri dan dikhuatiri akan terus saja berada dan melakukan kelemahan dan kekurangan dan lebih parah lagi bila cenderung menilai kelemahan dan kebahagiaan orang lain.

“Bersempena Awal Tahun Hijrah 1442, marilah sama-sama bermuhasabah dan menanamkan azam ke arah kecemerlangan untuk menjadi hamba Allah yang lebih bertakwa, lebih pemurah, lebih patuh dan mentaati segala suruhan Allah dan menjauhi segala laranganNya,” ujar khatib mengakhiri khutbahnya.