Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Hijrah hayati perjuangan nabi, sahabat

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JULAI – Sempena Awal Tahun Baharu Hijrah 1444, khatib menyeru umat Islam untuk sama-sama menanamkan azam ke arah kecemerlangan untuk menjadi hamba Allah yang lebih bertakwa, lebih patuh dan mentaati segala suruhan Allah serta menghayati ajaranNya.

    Khatib dalam khutbah Jumaat yang bertajuk ‘Hijrah itu Perjuangan dan Pengorbanan’ menekankan agar menjadikan peristiwa hijrah Rasulullah SAW yang penuh pengorbanan sebagai sumber inspirasi perjuangan umat Islam sepanjang zaman.

    Peristiwa hijrah Rasulullah SAW bersama para sahabat dan pengikut-pengikut Baginda dari Makkatul Mukarramah ke Madinah Al-Munawwarah telah membuka lembaran sejarah yang paling agung bukan saja dalam perkembangan agama Islam tapi juga kepada tamadun manusia pada keseluruhannya.

    Hijrah yang bermaksud dari segi bahasa ialah berpindah dari satu kawasan ke satu kawasan atau dari satu tempat ke satu tempat, hijrah juga bermakna berubah daripada satu keadaan kepada satu keadaan.

    Para ulama, katanya, telah membahagikan hijrah kepada tiga bahagian iaitu Hijrah Ammah iaitu hijrah Rasulullah SAW bersama para sahabat dari Makkatul Mukkaramah ke Madinatul Munawaarah yang mana hijrah itu berlaku sekali saja dalam Islam.

    Kedua pula, Hijrah Daiemah iaitu berpindah dari negara yang mengancam akidah seseorang Islam ke negara lain di mana untuk menyelamatkan akidah, keimanan dan mempertahankan agama.

    Ketiga pula, Hijrah Qulub wa Damair iaitu hijrah hati, keimanan dan keyakinan dengan cara meningkatkan iltizam kepada Islam selain berusaha membersihkan hati supaya lebih bersih, menambah keimanan supaya semakin beriman, mendalami kefahaman mengenai Islam supaya semakin berilmu, dengan itu peningkatan ke arah beriman, berilmu dan beramal itu akan terus berlaku.

    “Inilah kemajuan yang sebenar iaitu hijrah menukar keadaan ke arah yang lebih baik dan lebih dekat kepada Allah dan merubah keadaan supaya lebih beriman, beramal dan berakhlak dengan ajaran Islam,” jelasnya.

    Khatib menerangkan, sebagai umat Islam, hijrah seperti inilah yang mesti dilakukan dalam setiap masa dan keadaan.

    Melalui peristiwa hijrah yang terdapat beberapa pengajaran yang boleh dijadikan sebagai iktibar antaranya, Allah telah meletakkan kesucian agama Islam dan akidah itu lebih daripada yang lain dan tidak ada antaranya segala harta benda, kekayaan dan pangkat kebesaran sekiranya akidah dan syiar agama itu terancam, musnah dan dimusuhi.

    Di samping itu, peristiwa hijrah tergambar lukisan yang indah mengenai budi pekerti Rasulullah SAW iaitu ketabahan hati Baginda dalam menghadapi kesulitan dan kesukaran di mana tidak ada sedikit pun rasa putus asa dalam hati Baginda, walaupun pada waktu yang genting, Baginda terus berjuang di mana perjuangan itu banyak yang berhasil.

    “Bila Baginda mencapai hasil yang baik, maka hasil itu Baginda pupuk dan pelihara tapi apabila menemui kegagalan, Baginda berusaha mencari jalan lain untuk mencapai maksudnya dan tidak bertolak ansur dalam hal berkaitan dengan akidah,” jelasnya.

    Walaupun Nabi Muhammad SAW telah diberikan pelbagai tawaran yang menarik, ugutan dan penghinaan yang tidak dapat dilupakan bagi menyekat dan memberhentikan kegiatan dakwah Baginda untuk menyampaikan ajaran tauhid oleh kaum Musyrikin Quraisy, namun Baginda tetap dengan pendiriannya dan tidak bertolak ansur dalam perkara yang berkaitan dengan akidah.

    Di samping itu, kecintaan Rasulullah SAW terhadap tanah airnya dan teman atau sahabat yang setia, jujur dan ikhlas, patut dicari dalam mengharungi perjuangan atau keadaan yang berbahaya seperti mana Sayidina Ali dan Sayidina Abu Bakar ialah sahabat nabi yang paling setia, jujur dan ikhlas.

    Sesungguhnya teman atau sahabat yang setia, jujur dan ikhlas sajalah yang boleh membantu sama ada dalam senang mahupun dalam kesusahan.

    Pada hakikatnya, Sayidina Ali dan Sayidina Abu Bakar ialah orang yang paling banyak berkorban bagi merentasi dan melaksanakan hijrah bersama Nabi Muhammad SAW.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...