HIJRAH dari segi bahasa bermaksud berpindah. Manakala dari segi istilahnya pula ialah perpindahan Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam berserta sahabat-sahabat Baginda dari Kota Mekah ke Yathrib (Madinah) pada tahun 622 Masihi.
Kemudian orang-orang Islam yang berpindah dari Mekah ke Yathrib dinamakan Muhajirin, sementara orang-orang Islam yang menerima kedatangan saudara-saudara Islam Mekah dinamakan Ansar.
Faktor-faktor Hijrah Rasulullah S.A.W
Penghijrahan Rasulullah Salallahu Wasallam antara lain adalah disebabkan faktor-faktor berikut:-
* Mematuhi perintah Allah Subhanahu Wataala. Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam menerima wahyu yang memerintahkan Baginda berpindah ke Yathrib.
* Pemulauan terhadap Bani Hasyim dan Bani Al-Mutallib oleh Kafir Quraisy. Pemulauan ini merupakan tindakan agresif kafir Quraisy setelah gagal menyekat gerakan dakwah Islamiah Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam.
* Seksaan dan tekanan yang semakin hebat oleh Kafir Quraisy terhadap orang-orang Islam di Mekah.
* Penduduk Yathrib yang beragama Islam meminta Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam berhijrah ke Yathrib dan berjanji melindungi Baginda.
* Kedudukan Yathrib sesuai dijadikan pusat perkembangan Islam dan perdagangan yang menghubungkan antara Mekah dan Syam (Syria, Palestin dan Jordan).
Kesan Hijrah
Peristiwa Hijrah Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam mengandungi banyak kepentingan dan kesannya, antaranya ialah:-
Dari segi agama
* Yathrib secara langsung menjadi pusat penyebaran agama Islam.
* Agama Islam berkembang dengan pesat, meluas dan penganutnya semakin bertambah ramai dan keimanan orang Islam semakin mantap dan bertambah baik serta umat Islam dapat beribadat dengan lebih terbuka dan selesa.
Dari segi politik
* Sahifah Madinah atau Piagam Madinah berjaya dibentuk dan merupakan perlembagaan negara yang pertama sekali di dunia. Oleh yang demikian terbentuklah negara Islam pertama, penuh berdaulat yang melaksanakan dasar-dasar kerajaan bersendikan undang-undang Islam sepenuhnya.
Dari segi sosial
* Mengubah cara hidup masyarakat yang berpuak-puak atau berkabilah yang sentiasa bermusuhan (Aus dan Khazraj) kepada masyarakat yang bersatu padu dan mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar.
* Menanamkan nilai-nilai murni yang bersendikan aqidah dan akhlak dan membentuk ummah yang kuat melalui amalan hidup bermasyarakat yang adil tanpa penindasan.
Dari segi ekonomi
* Kedudukan ekonomi orang Islam di Madinah semakin kukuh. Madinah bukan sahaja kawasan pertanian yang sesuai malahan merupakan kawasan yang strategik dari segi perdagangan kerana letaknya di tengah-tengah antara Mekah dan Syam.
* Sistem ekonomi Islam telah diperkenalkan seperti jual beli, pengharaman riba, penipuan dan rasuah.
* Peniaga-peniaga kecil tidak lagi ditindas oleh golongan saudagar.
* Kedudukan ekonomi masyarakat Islam semakin kukuh dan seimbang hingga menjadikan masyarakat dan negara lebih makmur, stabil dan maju.
Pengajaran Hijrah Rasulullah S.A.W
* Kejayaan hijrah adalah berdasarkan kepada strategi yang terancang dan teratur oleh Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam.
* Kejayaan, kecemerlangan dan kemenangan dapat dicapai dengan usaha yang ikhlas, jujur dan bersungguh-sungguh dengan mengenepikan kepentingan sendiri.
* Doa restu dan keredhaan Allah Subhanahu Wataala hendaklah dipohonkan setiap waktu sama ada ketika senang atau susah. Allah
Subhanahu Wataala tetap akan memperkenankan doa hamba yang meminta kepada-Nya.
* Hijrah merupakan strategi dakwah.