Hikmah di sebalik sabar

ANDAI sebelum ini, dia bersedih kerana koleksi baju Melayu yang diperkenalkannya dipersenda segelintir warganet, namun kini pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi sudah mampu tersenyum.

Aznil berkata, kecaman yang diterima mempunyai hikmah tersendiri apabila rekaan di bawah jenama Raznil yang diilhamkan bersama Razman Razmi mendapat permintaan tinggi.

Bekas pengacara program realiti popular, Akademi Fantasia itu berkata, masih ramai yang menghargai keistimewaan persalinan tradisional yang diinspirasikan daripada gaya penghibur idolanya, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad itu.

“Rekaan itu diperkenalkan kerana saya mengagumi gaya Sudirman, malah yakin ia mempunyai penggemar tersendiri. Setakat ini, kami belum merancang untuk menambah jumlah tempahan.

“Saya buat bukan untuk kaut untung, sebaliknya lebih kepada berkongsi minat,” katanya yang turut melaburkan sejumlah wang bagi kos pembungkusan dan pemberian sampul duit raya percuma.

Perkongsian itu mengundang kecaman, sedangkan persalinan serupa pernah mendapat pujian apabila digayakan sekumpulan penari ketika majlis penutup Sukan SEA Ke-29 pada 2017. – Agensi

Terdahulu, Aznil yang mesra disapa Pak Nil mempromosikan koleksi baju Melayu lengkap dengan samping ala bengkung warna sedondon menerusi menerusi media sosial, Instagram.

Perkongsian itu mengundang kecaman, sedangkan persalinan serupa pernah mendapat pujian apabila digayakan sekumpulan penari ketika majlis penutup Sukan SEA Ke-29 pada 2017.

Aznil berkata, penghasilan baju Melayu itu turut memberinya pengalaman baharu apabila berpeluang menyertai karnival beli belah sempena Syawal bersama rakan artis lain, termasuk di Singapura.

“Sebelum ini, saya hanya melihat kawan lain berniaga di pelbagai lokasi festival jualan sempena raya. Seronok melihat mereka berniaga dan kali ini, saya berpeluang merasai pengalaman itu sendiri apabila memperkenalkan koleksi baju Melayu,” katanya.

Sementara itu, Aznil juga bakal menyambung sesi perkongsian menerusi ceramah motivasi di pusat pengajian tinggi dan sekolah di seluruh negara selepas sambutan hari raya. – Agensi