Hikmah di sebalik solat sunat

Solat merupakan amal ibadat yang tertinggi di dalam agama Islam. Seorang Muslim yang taat mendirikan solat lima waktu dalam sehari dapat diibaratkan dirinya seolah-olah menegakkan agamanya. Jika sebaliknya, dapat diibaratkan seseorang itu tidak mahu berusaha membina agamanya dengan sempurna.

Mengerjakan solat ini antara amalan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah. Solat sunat merupakan solat-solat selain daripada solat fardu yang dilakukan bertujuan untuk melengkapi sebarang kekurangan yang mungkin wujud ketika menunaikan solat fardu.

Sebagai contoh solat sunat rawatib yang didirikan sebelum dan sesudah solat fardu lima waktu mempunyai fungsi berbeza. Contohnya, solat sunat rawatib qabliyah dilakukan sebelum solat fardu untuk menenangkan jiwa supaya dapat khusyuk ketika solat. Solat sunat selepas solat fardu, rawatib ba’diyah menyempurnakan kekurangan yang mungkin ada dalam solat fardu didirikan sebelumnya.

Banyak kelebihan menunaikan solat sunat, selain menutup kekurangan solat fardu, mereka yang memperbanyakkan solat sunat menjadi ahli syurga, darjatnya ditinggikan serta menghapuskan dosa lalu, dicintai Allah dan mencegah perbuatan dilarang. Solat sunat mempunyai keistimewaan terutama kepada mereka yang sudah menjadikan ia amalan.

Kenikmatan yang dirasai selepas menjalinkan hubungan secara langsung dengan Allah tidak dapat diungkap dengan kata-kata. Hanya mereka yang tahu perasaannya. Bagi mencapai maksudnya, sudah tentu setiap amalan itu hendaklah dilakukan dengan sempurna.

Solat sunat sememangnya mempunyai fadilatnya tersendiri namun disembunyikan oleh Allah. Menurut hadis-hadis Rasulullah, setengah-setengah solat sunat itu mempunyai keistimewaan yang tersendiri, bukan sahaja dari segi ganjarannya tetapi juga fadhilat, hikmah dan faedahnya.

Misalnya orang yang mengamalkan solat Tahajjud di tengah malam, ia bakal dikurniakan ketetapan iman, dimurahkan rezeki, di samping dipercayai dan dihormati oleh orang ramai serta doanya dimakbulkan Allah.

Begitu juga mereka yang mengamalkan solat sunat Dhuha, rezekinya tidak putus dan dimudahkan segala urusannya. Orang yang mengerjakan solat Tarawih di Bulan Ramadan pula diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. Orang yang mengamalkan solat sunat Isyraq pula dikurniakan pahala seperti pahala Haji dan Umrah. Dan begitulah pada solat-solat lain, ada keistimewaan yang tersendiri. – Agensi