‘Hilang’ akibat kemurungan

LOS ANGELES, 12 Jun – Pegawai tentera udara Amerika Syarikat (AS) yang dilaporkan hilang pada 1993 berjaya ditemui di California menggunakan nama samaran dan dipercayai berbuat demikian kerana berdepan dengan masalah kemurungan.

William Howard Hughes Jr, yang memiliki pelepasan rahsia ketika bertugas di atas pesawat Air Force One, ditahan minggu lalu kerana disyaki terbabit dalam siasatan penipuan pasport, menurut Pejabat Siasatan Khas Tentera Udara dalam satu kenyataan.

Jelas kenyataan itu, Hughes yang kini menggunakan nama Barry O’Beirne, mengakui nama asalnya selepas disoal siasat bertubi-tubi berhubung identitinya.

“Kapten Hughes mendakwa telah mengalami masalah kemurungan pada 1983 kerana terpaksa bertugas di dalam pesawat Air Force One, lalu mengambil keputusan untuk menyembunyikan diri dengan mewujudkan identiti palsu, iaitu O’Beirne dan sejak itu beliau menetap di California,” kata kenyataan itu.

Hughes, yang kini berusia 66 tahun, dilaporkan melarikan diri selepas bertugas di Belanda sebagai sebahagian daripada pegawai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). – AFP

Gambar yang digabungkan oleh Pejabat Penyiasatan Khas Tentera Udara AS menunjukkan William Howard Hughes Jr selepas ditahan pada Jun 2018 (kiri) dan gambar terakhir semasa dia bertugas bagi Tentera Udara AS. – AP