Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Amanah merupakan satu tanggungjawab yang amat besar dan berat untuk dilaksanakan dan bukan perkara mudah yang diambil ringan selain perlu berhati-hati dalam menunaikan sesuatu amanah yang diberikan dan dipertanggungjawabkan dan jangan sampai ia dikhianati.
Perkara ini ditegaskan oleh khatib dalam khutbah Jumaat bertajuk ‘Jangan Mengkhianati Amanah yang Diberikan dan Dipertanggungjawabkan’ hari ini dan seterusnya menjelaskan, sifat amanah merupakan salah satu daripada sifat Rasulullah SAW iaitu benar, amanah, menyampaikan dan bijaksana.
“Menjaga amanah adalah sebahagian daripada iman dan Rasulullah mengingatkan tidaklah sempurna iman seseorang itu sehingga ia menjadi orang yang menjaga dan menunaikan amanah yang telah diberikan dan dipertanggungjawabkan kepadanya,” tekannya.
Khatib seterusnya mengingatkan, setiap urusan itu adalah amanah Allah kepada hambanya dan ramai orang yang berlumba-lumba untuk mencari nama, pangkat kebesaran dan harta di dunia sehingga amanah yang sepatutnya dilaksanakan itu diabaikan dan dicuaikan.
“Ini seperti menggunakan pangkat atau kuasa yang telah diamanahkan untuk kepentingan diri sendiri dan keluarga seperti melakukan perbuatan rasuah, pecah amanah dan sebagainya,” tegasnya.
Khatib mengingatkan, pangkat atau kuasa yang diberikan bukanlah satu keistimewaan tapi ia adalah satu amanah atau tanggungjawab yang amat berat dan wajib dilaksanakan dan ditunaikan dengan seadil-adilnya.
Kita hendaklah memikul tanggungjawab dan menanai amanah yang telah diberikan dengan tulus, jujur dan ikhlas di mana Rasulullah juga telah memberi peringatan kepada umatnya, hilangnya sifat amanah dalam masyarakat merupakan tanda kehancuran atau kebinasaan.
Khatib seterusnya menjelaskan, pengertian amanah terlalu luas dan ia meliputi agama, kewajipan syarak, kepimpinan, pekerjaan seperti pentadbiran perniagaan dan sebagainya, setiap orang mestilah menjaga dan menunaikan amanah ini dengan sebaiknya.
Sesungguhnya pekerjaan itu satu amanah besar yang mesti ditunaikan tanpa mengira apa juga bentuk pekerjaannya asalkan ia tidak bercanggah dengan hukum syarak.
Allah telah memberi peringatan kepada hambanya yang beriman supaya tidak mengkhianati amanah yang telah diberikan, jika menjaga dan menanai amanah yang dipertanggungjawabkan, ia akan mendorong untuk melakukan pekerjaan dengan lebih tekun dan lebih berdedikasi.
Khatib menjelaskan lagi, terdapat beberapa perkara yang perlu dititikberatkan dalam menjaga amanah dalam pekerjaan seperti menjaga dan menepati waktu bekerja, tidak terjebak dalam penyelewengan seperti rasuah, judi, pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya.
Setiap orang perlu sentiasa bersifat jujur dan amanah, tegas khatib, sama ada dalam kehidupan seharian mahupun dalam pekerjaan sama ada bekerja dengan perkhidmatan awam, pihak swasta atau bekerja sendiri.
Sementara itu, Negara Brunei Darussalam pada setiap tahun akan merayakan Hari Perkhidmatan Awam dengan tujuan supaya warga perkhidmatan awam memberikan perkhidmatan yang efisien, bersih, tulis ikhlas, jujur, berkualiti dan proaktif.
Tema Sambutan Hari Perkhidmatan Awam kali ke-26, tahun ini, ‘Perkhidmatan Awam Berintegriti dan Berinovasi Pemangkin Pembangunan Negara’.
Perkhidmatan awam merupakan tunggak utama dalam menggerakaktifkan sumber tenaga manusia dan penyumbang kepada program pembangunan negara dalam mencapai Wawasan Brunei 2035.
“Pentingnya bagi seluruh perkhidmatan awam untuk menerapkan budaya berintegriti dan berinovasi di setiap peringkat pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam dalam menaikkan taraf kualiti perkhidmatan awam yang lebih cemerlang,” tambahnya.