ABZIMU, SYRIA – Daripada tendangan rama-rama hingga tumbukan yang kuat, sekumpulan kanak-kanak di utara Syria yang dikuasai pemberontak mengasah teknik seni mempertahankan diri di bawah tunjuk ajar seorang jurulatih kung fu yang mempunyai anggota tubuh kurang sempurna, Fadel Othman.
Lelaki berusia 24 tahun itu menguruskan sebuah sekolah seni mempertahankan diri di bandar Abzimu, luar bandar barat wilayah Aleppo. Kira-kira 100 pelajarnya termasuk anak-anak yatim dan kehilangan bapa mereka semasa peperangan di Syria selama sedekad.
“Ini adalah kumpulan pertama yang saya latih selepas kecederaan,” katanya kepada AFP dari padang terbuka tempa dia sering mengajarkan kung fu.
“Saya sangat percaya suatu hari nanti mereka akan menjadi juara dunia,” katanya merujuk kepada anak didiknya.
Othman terkena serangan peluru artileri pada 2015, semasa pertempuran antara pemberontak dan tentera kerajaan di Aleppo. Dia menjadi salah seorang daripada lebih 86,000 rakyat Syria yang menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengalami kudung akibat kecederaan yang berkaitan dengan konflik. Disebabkan itu, pemuda yang menjalani latihan kung fu seawal usia 12 tahun, itu bersedia untuk meninggalkan minatnya selama ini. “Saya rasa seperti tiada peluang di dunia ini,” kata Othman kepada AFP di akademinya.
Tetapi sepanjang tiga tahun dia menghabiskan masa di Turki untuk rawatan perubatan, dia meneruskan kelas bersama jurulatih seni mempertahankan diri dan juga menyertai beberapa kejohanan.
Awal tahun ini, beliau menubuhkan akademi kung fu untuk melatih pelajar di peringkat berbeza. Di dalam gim yang dilengkapi dengan alat latihan, gambar Othman menyertai kejohanan menghiasi dinding.
Semasa sesi mengajar, dia menunjukkan beberapa siri latihan memanaskan badan, tanpa menggunakan tongkat.
Dia melihat pelajar melakukan urutan kung fu yang hebat di atas tikar berwarna-warni sebelum membantu mereka memperhalusi teknik untuk menghalang tendangan dan tumbukan.
Jurulatih itu berkata dia mahu mengajar kanak-kanak “gerakan berguna yang boleh mereka gunakan untuk mempertahankan diri” dan meningkatkan keyakinan mereka.
Gim itu tidak mempunyai bekalan elektrik utama dan apabila bateri yang menyalakan lampu gudang itu mati, Othman menyandarkan dirinya ke dinding untuk menyambut tumbukan daripada murid mudanya menggunakan sarung tangan khas.
Di padang terbuka di Abzimu, Othman memberi satu lagi pengajaran kepada sekitar 14 pelajar sekolah yang berpakaian seragam.
“Saya melihat mereka sebagai adik-beradik saya,” katanya.
“Matlamat saya adalah untuk mempunyai kumpulan yang kuat dan memupuk generasi (pejuang) yang boleh mara ke pertandingan antarabangsa,” katanya. – AFP