Monday, November 28, 2022
31.8 C
Brunei

-

Hilang buat penonton tak senang duduk

Platform penstriman, Viu sekali lagi muncul dengan karya memukau berjudul Hilang yang mengetengahkan elemen seram dan mendebarkan buat penonton.

Pengurus Viu Malaysia, Kingsley Warner berkata, Hilang merupakan karya kelima Viu Original sekali gus menjadi naskhah penutup bagi tahun 2022.

Warner memberitahu drama tersebut pastinya menarik perhatian kerana ia mengetengahkan kisah pembunuhan misteri dengan jalan cerita yang membuatkan penonton berdebar.

“Penonton Viu pastinya akan berasa seronok dengan drama ini, lebih-lebih lagi buat peminat kisah pembunuhan misteri ditambah pula elemen mistik di dalamnya.

“Ia pasti membuatkan penonton tak senang duduk dengan jalan cerita Hilang,” katanya kepada mStar.

Hilang sedang ditayangkan di Viu dengan dua episod baharu setiap minggu. – Agensi

Drama bersiri Hilang menampilkan barisan pelakon hebat seperti Khir Rahman, Siti Saleha, Aqasha dan Jasmine Suraya dan sudah pun menemui penonton di Viu Malaysia baru-baru ini.

Ia diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar dan Sein Qudsi yang pernah bertindak sebagai pengarah bersama drama bersiri Viu Original, Black musim kedua pada tahun lalu.

Warner berkata, Viu Malaysia sebelum ini berjaya menghasilkan beberapa karya hebat seperti Ganjil, Seribu Nina dan She Was Pretty yang memenangi pelbagai anugerah termasuk di Anugerah Kreatif Akademi Asia.

“Dengan karya thriller Viu Original seperti Black dan The Bridge yang pernah memenangi anugerah, ia dapat meningkatkan lagi kualiti drama misteri di Malaysia dengan pelancaran Hilang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ghaz menjelaskan kerjasama bersama Sein mengarahkan Hilang tidak berdepan masalah memandangkan mereka mempunyai minat dan visi sama.

Malah persahabatan yang terjalin sebelum ini memudahkan proses penggambaran dan memberi impak lebih baik kepada hasil akhir drama bersiri berkenaan.

“Sejujurnya kami dah kenal lama dan persefahaman itu ada jadi tiada percanggahan kerana kami mempunyai ‘bahasa’ filem dan visi yang sama.

“Dalam kes kami, dua kepala mengemudi kerusi pengarah drama ini membuatkan hasilnya lebih bagus. Kami sebagai nakhoda telah melayari bahtera itu dengan baik,” jelasnya.

Ghaz terkenal sebagai pengarah beberapa filem blockbuster seperti Polis Evo, Bulan dan Pria Terhebat, Cicakman 3 dan Hantu Kapcai.

Manakala Sein pula pernah mengarahkan filem aksi Langgar dan Dendam Azalea yang ditayangkan secara eksklusif di sebuah platform penstriman sebelum di pawagam.

Hilang mengisahkan tentang Inspektor Munir lakonan Khir Rahman yang merupakan penduduk tempatan Seri Daik kembali semula ke kampung halaman selepas 17 tahun menyiasat kes pembunuhan seorang remaja perempuan.

Munir bagaimanapun bertemu Yusof lakonan Aqasha yang bertugas sebagai seorang guru agama dan dituduh menjadi punca kematian adik Munir ketika menjalani rawatan tradisional.

Bagaimanapun kehilangan remaja perempuan tersebut membuatkan Munir dan Yusof terpaksa bekerjasama untuk merungkai misteri membelenggu Seri Daik.

Misteri di kampung itu bertambah rumit apabila Yusof percaya kehilangan remaja berkenaan dan punca kematian adiknya mempunyai kaitan. – Agensi

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Ratusan bantah sekatan COVID China

BEIJING, 27 NOV – Bantahan terhadap kawalan koronavirus di China yang telah mengurungkan jutaan penduduk di rumah telah merebak ke Shanghai dan bandar lain...
- Advertisment -