KOTA KINABALU, 18 SEPT – Kehilangan habitat dan kekurangan sumber makanan bersaiz besar berkemungkinan antara sebab serangan buaya semakin meningkat di Sabah.
Prof Benoit Goossens, seorang ahli Suruhanjaya Kemandirian Khas Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) berkata walaupun membunuh beberapa buaya di sesuatu kawasan boleh menimbulkan rasa selamat kepada pengguna sungai, buaya baharu akan menggantikan reptilia yang mati itu dan bahaya akan berterusan.
Goossens yang juga Pengarah Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC) berkata lebih banyak kesedaran diperlukan di kawasan yang mempunyai populasi buaya yang tinggi dengan menganjurkan bengkel bersama masyarakat tempatan dan pekerja ladang yang
memancing di sepanjang Sungai Kinabatangan.
“Bagi saya, faktor yang menyebabkan konflik manusiabuaya ialah kehilangan habitat dan kekurangan mangsa besar seperti babi hutan akibat wabak selesema babi Afrika. Buaya besar yang menyerang manusia biasanya memakan mangsa bersaiz besar seperti khinzir dan rusa.
“Apabila populasi babi hutan kembali (ada), kita perlu mencadangkan kepada orang ramai agar mengelak mandi di sungai utama yang ada kehadiran buaya dan tidak memancing di tebing sungai selama berjam-jam, kerana buaya ialah pemangsa serang hendap,” katanya kepada Bernama.
Baru-baru ini, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mencadangkan bahawa Sabah perlu mengeluarkan permit untuk memburu buaya secara terkawal bagi menangani isu populasi reptilia itu yang tinggi di Sabah.
Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Lamag turut mendesak kerajaan negeri untuk mewujudkan peraturan atau pengawalan terhadap penghapusan dan pemburuan buaya secara komersial, sama seperti yang dilakukan di Sarawak.
Beliau membuat saranan itu susulan kematian melibatkan seorang wanita yang diserang oleh seekor buaya di daerah Kinabatangan pada 30 Julai lepas.
Pada 11 September, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menjumpai kepala mangsa dipercayai disambar buaya ketika cuba menyeberang Sungai Seguntur di kawasan setinggan dekat Taman Kenari, Sandakan, kes terbaharu konflik antara manusia dengan buaya di negeri itu. – Bernama