Hilang sekelip mata

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2011 – Semenjak awal Ramadan sehi-ngga Aidilfitri, kejadian kebakaran memusnahkan sekurang-kurangnya sepuluh kediaman yang menyebabkan kesengsaraan dan kerugian besar ke atas harta benda.

Dalam satu kejadian, sebuah rumah sewa rentung dalam kebakaran di Kampung Lambak. Hasil siasatan awal mendapati pendawaian elektrik yang rosak merupakan punca kebakaran.

Pemiliknya membuat panggilan kecemasan pada pukul 4:23 pagi, berikutan kebakaran yang merebak dengan cepat hingga ke bumbung rumah.

Salah seorang penyewa mengatakan beliau nampak api, bergegas membangunkan rakan serumah dan mendapatkan dokumen penting serta berjaya melepaskan diri tanpa sebarang kecederaan.

Rumah itu disewa oleh lapan pekerja India dan seorang warga tempatan menurut mangsa. Tragedi itu membuatkan mereka kehilangan wang yang selama ini disimpan dengan penat jerih mereka.

“Apa yang membimbangkan kami ialah kad pengenalan, lesen memandu dan wang kami hangus semasa kebakaran,” tambahnya.

“Ini mungkin akan menyebabkan kesulitan kepada kami khususnya semasa pemeri-ksaan oleh pihak penguat kuasa ke atas pekerja-pekerja asing.”

Pasukan seramai 13 orang anggota bomba dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Lambak Kanan dan Berakas diketuai oleh Pegawai Penguasa Operasi C (ketika itu), Superintenden Kanan Sahreeni Haji Yusof berkejar ke lokasi dan berjaya memadam kebakaran dalam masa 13 minit.

Dua buah kenderaan rosak teruk semasa kebakaran dan kerugian keseluruhan dianggarkan mencecah $70,000.