Hilangnya sebutir bintang

LONDON, 12 APRIL – Legenda permotoran, Stirling Moss meninggal dunia pada usia 90 tahun selepas sekian lama terlantar sakit.

“Dia hanya memejamkan matanya,” kata isteri Moss, Susie menceritakan bagaimana detik kematian pelumba Formula Satu (F1) itu.

Walaupun tidak pernah muncul juara keseluruhan, Moss pernah menduduki tempat kedua terbaik sebanyak empat kali dan tiga kali menghuni tangga ketiga keseluruhan.

Media Britain melaporkan Moss meninggal dunia selepas menderita jangkitan kuman di paru-paru yang dialaminya di Singapura sejak Disember 2016.

Kematiannya tidak mempunyai kaitan dengan COVID-19.

Ketika eranya, dia berlumba dalam pelbagai kelas, dengan kariernya selama 14 tahun bermula pada 1948 apabila Moss mencatatkan 212 kejuaraan dalam 529 perlumbaan disertainya termasuk di Mile Miglia pada 1955.

Dalam saingan F1, Moss meraih 16 kejuaraan Grand Prix (GP), dengan kejayaan sulung dicatatkan di GP Britain di Liverpool pada 1955 sekali gus menyaksikan dia pelumba pertama Britain muncul juara. – AFP

Gambar fail pada 5 Julai 2009 menunjukkan Moss ketika memandu Mercedez Benz W196 semasa festival di Goodwood. – AFP