Hima diiktiraf Tapak Warisan UNESCO

NAJRAN, 25 JULAI – Hima menjadi tapak keenam di Arab Saudi yang diiktiraf dalam Senarai Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Terletak di barat daya Arab Saudi, Hima menempatkan kompleks seni batuan yang terbesar di dunia.

“Tapak baharu diiktiraf dalam Senarai Warisan Dunia UNESCO: kawasan kebudayaan Hima, Arab Saudi. Mabrouk (tahniah)!” umum UNESCO semalam.

Hima menempatkan lebih 34 tapak berasingan, termasuk batu bersurat dan telaga di sepanjang laluan karavan Arab pada zaman purba.

Agensi berita SPA melaporkan Menteri Budaya Arab Saudi, Putera Badr bin Abdullah bin Farhan Al Saud, mengalu-alukan penyenaraian itu.

“Negara ini kaya dengan warisan tamadun manusia. Usaha untuk menjadikannya terkenal di dunia sudahpun membuahkan hasil,” katanya seperti dipetik media terbabit.

Menurut SPA, Hima menjadi laluan karavan perdagangan dan jemaah haji untuk pergi dan balik dari bahagian selatan Arab Saudi.

“Mereka yang melalui kawasan itu antara waktu pra dengan pasca sejarah, telah meninggalkan pelbagai koleksi seni batuan.

“Ia antara lain menggambarkan simbol, tumbuhan, haiwan liar, pemburuan dan peralatan digunakan ketika itu, selain ribuan prasasti,” katanya.

Tapak berkenaan meliputi 557 kilometer persegi. – AFP

Terletak di barat daya Arab Saudi, Hima menempatkan kompleks seni batuan yang terbesar di dunia. – AFP