SIBU, 23 OGOS – Lembaga Air Sibu (SWB) tidak dapat mengekstrak air dari Sungai Rejang akibat berlaku pelodakan serius, susulan kejadian himpunan serpihan kayu balak di kawasan hulu Sungai Baleh di Bahagian Kapit, semalam.
Dalam notis kepada pelangganya menerusi Facebook, SWB memaklumkan bahawa Loji Rawatan Air Salim dan Loji Rawatan Air Bukit Lima beroperasi pada kapasiti minimum, sekali gus memberi kesan terhadap bekalan air ke seluruh kawasan Sibu.
“Kita akan cuba memulihkan bekalan dengan kadar segera. Sebarang kesulitan amat dikesali,” menurut SWB dalam kenyataan itu.
Semalam Timbalan Ketua Menteri Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Baleh Tan Sri Dr James Masing berkata himpunan balak tersebut berpunca daripada aktiviti pembalakan di kawasan hulu Baleh.
Beliau yang berang dengan kejadian itu, mendesak supaya lesen bagi pemilik-pemilik konsensi balak berkenaan tidak diperbaharui bagi mengelak insiden yang sama berulang. – Bernama