LAHORE, Pakistan, 15 Sept – Seorang lelaki Pakistan telah dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan kekufuran selepas dia menghantar puisi menghina Islam kepada rakan Islamnya melalui WhatsApp, kata seorang peguam hari ini.
Nadeem James telah didakwa pada Julai tahun lepas selepas rakan Islamnya Yasir Bashir membuat aduan kepada pihak polis bahawa dia menerima sebuah puisi pada aplikasi pesanan itu yang menghina Nabi Muhammad SAW dan tokoh-tokoh ulama lain.
“James diberikan hukuman mati oleh mahkamah kelmarin atas tuduhan-tuduhan kekufuran,” peguam bela Anjum Wakeel memberitahu AFP.
“Klien saya akan membuat rayuan atas hukuman itu di mahkamah tinggi memandangkan dia dianiaya oleh rakannya yang marah dengan hubungan James dengan seorang wanita Islam,” kata Wakeel.
Dia berkata perbicaraan itu diadakan di dalam penjara atas sebab-sebab keselamatan selepas penduduk setempat mengancam James dan keluarganya.
Pegawai-pegawai mahkamah mengesahkan hukuman itu.
Kekufuran adalah isu yang sangat sensitif di negara Islam Pakistan, di mana tuduhan-tuduhan tidak terbukti boleh mencetuskan pemukulan dan kekejaman.
Dalam tahun 2014, pasangan Kristian telah digantung dan kemudian dibakar di wilayah Punjab selepas secara salah dituduh menghina Al-Quran.
Kumpulan-kumpulan hak telah berkata undang-undang secara rutin disalahgunakan untuk membalas dendam. – AFP